KUALA LUMPUR – Polis mengesan beberapa saksi penting dalam siasatan kes dakwaan komplot cuba menjatuhkan kerajaan sedang berada di luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, semakan polis dengan Jabatan Imigresen mengesahkan individu-individu terbabit telah membuat pergerakan keluar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di antara Januari hingga Februari lalu.
Katanya, pihak polis masih meneruskan usaha untuk mengesan saksi-saksi tersebut bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, setakat ini seramai 14 orang saksi telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“PDRM komited dalam menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan iaitu dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi Berparlimen. -MalaysiaGazette
















