KUALA LUMPUR – Dalam menyemarakkan semangat bersedekah pada bulan Ramadan, Klinik Pergigian Rohaya (KPR) meraikan lebih 70 anak-anak orang kurang upaya (OKU) daripada Pertubuhan Kanak-Kanak Insan Istimewa Cemerlang (KIIC) dalam majlis berbuka puasa baru-baru ini.
Pengasas bersama klinik, Datuk Emran Abd Wahid berkata, selain meraikan dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban golongan itu, program tahunan tersebut bertujuan memberi mesej kepada masyarakat supaya lebih prihatin terhadap nasib anak-anak istimewa berkenaan.
“Anak-anak ini juga sebahagian daripada masyarakat di sekeliling kita yang perlu diambil berat dan diberi perhatian.
“Mereka adalah kurniaan Allah SWT yang mengundang kasih sayang-Nya kepada kita semua di muka bumi dan kehadiran mereka perlu diraikan sebaiknya,” katanya di sini.

Emran menambah, Ramadan bukan sekadar tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi juga tentang melatih diri untuk menjadi lebih peka terhadap keperluan orang lain.
Katanya, golongan OKU bukanlah kelompok yang harus dipandang sebagai beban, sebaliknya mereka adalah sebahagian daripada komuniti yang berhak mendapat layanan sama rata.
“Menyantuni OKU dalam bulan Ramadan juga mencerminkan konsep ihsan iaitu melakukan sesuatu dengan penuh kebaikan dan kesempurnaan.
“Ia juga adalah satu manifestasi kasih sayang dan kepedulian dalam Islam bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, kita dapat memastikan Ramadan menjadi bulan keberkatan untuk semua, tanpa mengira keupayaan fizikal atau mental,” katanya.
KPR merupakan antara klinik pergigian milik bumiutera terawal yang ditubuhkan pada tahun 1999 di Sentul Raya dengan fokus menyediakan penjagaan pergigian komprehensif menggunakan teknik moden.
Cawangan keduanya dibuka Kota Damansara pada tahun 2001 sebelum berpindah ke bangunan sekarang pada tahun 2015 yang kini dikenali dengan perkhidmatan pergigian mesra pesakit di Selangor. – MalaysiaGazette

















