KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan langkah penjimatan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak mencukupi untuk membantu golongan rentan dan industri yang terjejas.
Sebaliknya, bekas Menteri Kewangan itu berkata, langkah penjimatan seharusnya disertai dengan moratorium terhadap kenaikan cukai, kos peraturan dan pematuhan serta subsidi bersasar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat peningkatan kos operasi.
Menurutnya, kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pematuhan e-invois serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi pekerja asing yang berkuat kuasa sejak lewat tahun lalu juga wajar digantung serta-merta.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu melakukan penetapan semula dasar peraturan dan percukaian bagi membantu PMKS mengatasi lonjakan kos operasi dan kos pematuhan, di samping menangani kekurangan tenaga kerja yang kronik, khususnya dengan meliberalisasikan pengambilan pekerja asing.
“Lebih membimbangkan ialah persaingan daripada syarikat asing, terutamanya syarikat yang menggunakan strategi pemotongan harga secara agresif yang dikenali sebagai “involution” bagi merampas bahagian pasaran dan menyingkirkan PMKS tempatan daripada perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin, Anwar mengumumkan bahawa subsidi bahan api Budi95 untuk rakyat Malaysia akan dikekalkan, namun perjalanan luar negara bagi para menteri serta semua jabatan kerajaan akan dihadkan, manakala majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri tidak akan dianjurkan.
Kesemua langkah itu diambil dalam usaha penjimatan kerajaan dalam berdepan kenaikan harga minyak dunia susulan krisis di Asia Barat ketika ini.
Sementara itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, bagi membantu PMKS bertahan dalam persekitaran perniagaan yang tidak menentu ketika ini, kerajaan seharusnya mencontohi negara jiran Asean.
Ia ujarnya, merujuk kepada pendekatan mewajibkan pelabur tempatan dan asing melaksanakan dasar membeli sekurang-kurangnya 50 peratus produk tempatan, kecuali jika produk tersebut tidak tersedia di dalam negara.
“Kegagalan melindungi industri tempatan serta 1.1 juta PMKS yang merangkumi lebih 96 peratus daripada semua perniagaan di Malaysia juga akan memberi kesan buruk terhadap kestabilan politik dan menjejaskan sokongan terhadap kerajaan semasa,” katanya. – MalaysiaGazette















