KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas cuba melarikan diri daripada polis hingga melanggar kereta peronda dalam kejadian pukul 8.30 malam tadi di Jalan Banting, Pandamaran, Klang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, suspek berusia 31 tahun itu direman empat hari bermula hari ini hingga 16 Mac ini oleh Majistret Nur Atikah Zakaria di Mahkamah Majistret Klang pagi tadi.
Terdahulu, menurut beliau, kereta peronda malam tadi terserempak dengan kenderaan suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Banting dan mengarahkan pemandu itu memberhentikan kenderaannya.
Namun, katanya, suspek bertindak melarikan diri dan dikejar sehingga ke persimpangan lampu isyarat bersebelahan stesen minyak di jalan sama, pada jarak kira-kira 10 kilometer.
“Dalam usaha melarikan diri itu, suspek telah melanggar dua kereta jenis Toyota Vios yang mana kedua-duanya mengalami kerosakan bumper sebelah kanan dan melanggar kereta peronda di bahagian tepi kiri sebelum berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan dua paket dipercayai dadah jenis methamphetamine dan semakan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau serta empat rekod dadah termasuk dua rekod dikehendaki polis.
“Susulan kejadian itu, polis telah membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 189/279 Kanun Keseksaan, Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Jit Huey turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran serta menggugat ketenteraman awam berhubung kejadian tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3376222 bagi membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















