Gambar hiasan

KUALA LUMPUR — Beberapa kawasan di utara Semenanjung kini berdepan cuaca panas yang semakin memuncak berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) setakat pukul 6 pagi tadi.

Menerusi infografik rasmi, enam kawasan dikenal pasti berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga) iaitu Perlis serta beberapa daerah di Kedah melibatkan Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Pendang dan Kuala Muda selepas suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Walaupun kebanyakan kawasan lain di Semenanjung masih berada pada tahap normal dengan suhu di bawah 35 darjah Celsius, perkembangan di utara tanah air itu mencetuskan kebimbangan susulan trend peningkatan suhu sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Menurut MET Malaysia, Tahap 1 menandakan keadaan panas berterusan yang memerlukan orang ramai lebih berhati-hati, terutama golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan individu yang mempunyai masalah kesihatan.

Dalam infografik sama, orang ramai dinasihatkan supaya memperbanyakkan pengambilan air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengelakkan dehidrasi, selain mengurangkan aktiviti luar terutamanya antara pukul 11 pagi hingga 4 petang ketika suhu berada pada tahap puncak.

Selain itu, pemakaian pakaian longgar dan berwarna cerah turut digalakkan bagi membantu menyejukkan badan, manakala orang ramai diminta sentiasa peka terhadap maklumat dan amaran terkini melalui aplikasi myCuaca serta saluran media sosial rasmi MET Malaysia.

Sekiranya suhu terus meningkat melepasi 37 darjah Celsius, kawasan terlibat berdepan risiko dinaikkan ke Tahap 2 (Gelombang Haba), sekali gus memberi isyarat bahawa fenomena panas ekstrem boleh menjadi ancaman lebih serius jika berlarutan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast