KEPALA BATAS – Seorang wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Guar Kepayang di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa ditemukan di dalam sebuah bilik selepas pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dan menyelamat di rumah berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pukul 4.59 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jentera pertama tiba di lokasi pada pukul 5.15 petang dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas C dengan keluasan kira-kira 40 x 80 kaki persegi.
“Semasa operasi dijalankan, kita dimaklumkan seorang mangsa terperangkap di dalam rumah berkenaan.
“Mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan rentung di sebuah bilik pukul 5.55 petang,” katanya hari ini.
Tambah beliau, mangsa merupakan seorang wanita warga emas berusia 60-an serta berstatus orang kelainan upaya (OKU).
“Selain wanita itu, terdapat tiga lagi mangsa terdiri suami, anak lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun namun kesemua mereka dilaporkan selamat.
“Kebakaran itu mengakibatkan kira-kira 70 peratus struktur rumah musnah dan operasi pemadaman masih dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette
















