KLUANG – Pengumuman Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sedia kembali ke pangkuan UMNO adalah bukti jelas beliau sentiasa setia walaupun digantung keahliannya daripada parti.
Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, pengumuman itu juga kerana bekas Naib Presiden UMNO berkenaan masih sayangkan parti, sekali gus dianggap sebagai satu hadiah pada bulan Ramadan kali ini.
“Kesediaan Hishammuddin untuk kembali memperkasa serta mengukuhkan UMNO sekiranya penggantungan keahliannya sejak Januari 2023 ditarik balik, disambut gembira dan terharu oleh kepimpinan dan ahli akar umbi UMNO Bahagian Sembrong.
“Berita gembira ini diterima pada bulan Ramadan, ini adalah sesuatu yang luar biasa kepada keseluruhan ahli parti di Sembrong yang selama ini sentiasa berdiri kukuh di bawah kepimpinan Hishammuddin,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata, bahagian tersebut turut berterima kasih kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka laluan menerusi Rumah Bangsa untuk terus memperkukuhkan kesatuan dan membina kembali kekuatan UMNO.
“Saya yakin, dengan kembalinya Hishammuddin ke pangkuan UMNO, ia bukan hanya akan membantu memperkukuhkan parti di peringkat bahagian serta negeri, malah akan turut memperkasakan parti di peringkat kebangsaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat kembali merapatkan saf dan membina semula sokongan rakyat di peringkat akar umbi.
Jelasnya, ia supaya UMNO terus dapat menjadi tonggak kepimpinan negara pada masa akan datang.
Semalam, Hishammuddin menyatakan kesediaannya untuk kembali berjuang memperkasa serta memperkukuhkan UMNO jika penggantungan keahliannya ditarik balik parti.
Beliau terharu dan berterima kasih kepada Ahmad Zahid apabila parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahliannnya untuk bersama-sama kembali menyertai UMNO.
Jelasnya, untuk menyertai UMNO bukanlah keputusan sukar baginya walaupun telah digantung keahliannya selama enam tahun bermula Januari 2023.
“Dalam tiga tahun saya digantung, saya tidak pernah keluar parti pun,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sembrong. – MalaysiaGazette















