Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan bergambar bersama wakil universiti yang menerima cek cura bantuan Jom Balik Raya bersama Mahasiswa pada Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP - Jom Balik Raya bersama Mahasiswa 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpilih menyertai Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP: Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa meluahkan kegembiraan kerana berpeluang pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga serta menyambut Aidilfitri yang bakal tiba bersama insan tersayang.

Keterujaan jelas terpancar pada wajah para mahasiswa ketika mereka melangkah masuk ke dalam bas yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membawa mereka pulang ke kampung halaman bertemu keluarga petang tadi.

Bagi sebahagian daripada mereka, peluang tersebut amat bermakna kerana akhirnya dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga tahun ini selepas tidak berkesempatan pulang pada tahun lalu berikutan kekangan kewangan bagi mendapatkan tiket perjalanan.

Pelajar Universiti Malaya, Muhamad Fitri Ilham Hamid, 21, berkata, peluang menyertai program tersebut amat bermakna kerana sebelum ini dia sering berdepan kesukaran mendapatkan tiket untuk pulang ke kampung ketika musim perayaan. 

Mahasiswa UM, Muhamad Fitri Ilham Hamid, 21, bercakap ketika ditemubual pada Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP – Jom Balik Raya bersama Mahasiswa 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 MAC 2026.

Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja menyediakan tiket perjalanan pulang beraya, malah turut memberikan sumbangan duit raya kepada pelajar yang terlibat.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kepada Universiti Malaya serta pihak penganjur kerana menyediakan kemudahan ini yang benar-benar membantu mahasiswa seperti saya.

“Kadang-kadang kami terpaksa berebut atau ‘fight’ untuk mendapatkan tiket balik kampung, jadi program seperti ini sangat memudahkan,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette. 

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/03/13/maiwp-peruntuk-lebih-rm1-juta-bantu-6650-mahasiswa-pulang-beraya/

Manakala Iman Nur Ain, 23, yang juga dari Universiti Malaya, meluahkan rasa syukur apabila berpeluang pulang ke kampung halaman di Kota Kinabalu, Sabah sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Mahasiswi UM, Iman Nurain Abdullah, 23, bercakap ketika ditemubual pada Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP – Jom Balik Raya bersama Mahasiswa 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 MAC 2026.

Katanya, dia tidak menyangka akan menerima bantuan berkenaan memandangkan kos tiket penerbangan pulang ke Sabah pada musim perayaan kebiasaannya mencecah hampir RM1,000 termasuk kos kargo.

“Saya agak terkejut apabila menerima tiket ini dan sangat bersyukur kerana tidak perlu mengeluarkan wang sendiri untuk pulang ke kampung,” katanya.

Dia turut berharap program bantuan sedemikian dapat diteruskan pada masa hadapan memandangkan keadaan ekonomi pelajar, khususnya yang berasal dari luar Semenanjung, tidak menentu dan memerlukan sokongan sewajarnya.

Manakala, pelajar dari Universiti Malaya juga, Noraini William, 22, meluahkan rasa gembira kerana terpilih dalam program berkenaan, sekali gus membolehkan dia melepaskan rindu kepada keluarga di Sabah.

Mahasiswi UM, Noraini William, 22, bercakap ketika ditemubual pada Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP – Jom Balik Raya bersama Mahasiswa 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 MAC 2026.

“Saya bersyukur kerana tiket penerbangan ke Sabah sangat mahal, dengan adanya inisiatif ini, dapat mengurangkan beban sebagai pelajar,” ujarnya. 

Penuntut dari Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Nur Amirah Syahirah Muhammad Nasir, 22, berkata, ini merupakan pertama kali baginya menyertai program itu, dan menyokong inisiatif tersebut kerana sedikit sebanyak dapat menanggung kos untuk pulang ke kampung halaman. 

Mahasiswi UPTM, Nur Amirah Syahirah Muhamad Nasir, 22, bercakap ketika ditemubual pada Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP – Jom Balik Raya bersama Mahasiswa 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 MAC 2026.

“Saya rasa program ini sangat bagus, dan patut diteruskan untuk para pelajar pulang beraya,” luahnya dengan rasa gembira.

Tambahan, pelajar dari Universiti Malaya, Azhar Ghan Abdul Gani, 21, yang akan pulang ke Sandakan berkata, dengan inisiatif ini, dia tidak lagi perlu memikirkan untuk kos yang perlu ditanggung untuk pulang ke Sabah. 

Mahasiswa UM, Azhar Ghan Abdul Ghani, 21, bercakap ketika ditemubual pada Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP – Jom Balik Raya bersama Mahasiswa 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 MAC 2026.

“Program ini sangat penting untuk kami, terutamanya pelajar-pelajar Borneo seperti kami untuk balik beraya berjumpa keluarga tercinta,” katanya.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan lebih RM1 juta bagi membantu 6,650 mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) di Wilayah Persekutuan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri menerusi program Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa.

Bantuan berkenaan meliputi pembelian tiket bas dan kapal terbang serta wang saku sepanjang perjalanan kepada siswa di lapan buah universiti. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast