Sebahagian pelajar yang menerima bantuan Jom Balik Raya bersama Mahasiswa pada Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP - Jom Balik Raya bersama Mahasiswa 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan lebih RM1 juta bagi membantu 6,650 mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) di Wilayah Persekutuan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri menerusi program Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, bantuan berkenaan meliputi pembelian tiket bas dan kapal terbang serta wang saku sepanjang perjalanan kepada siswa di lapan buah universiti.

Menurutnya, antara institusi yang terlibat adalah Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM); Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP); Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) dan Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP).

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/03/13/syukur-maiwp-taja-tambang-balik-beraya-pelajar-ipt/

Selain itu, tambah beliau, turut terlibat ialah mahasiswa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Kolej Islam Antarabangsa (KIA) serta Universiti Malaya (UM).

“Diharapkan dengan sumbangan bantuan diberikan oleh MAIWP kepada mahasiswa ini dapat meringankan beban mereka untuk pulang berhari raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan hadir pada Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP – Jom Balik Raya bersama Mahasiswa 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 MAC 2026.

“Kedua-dua sumbangan yang diberikan oleh MAIWP ini adalah sangat bermakna dan perlu diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya ketika berucap pada program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP: Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Tambahnya , bantuan itu bukan sekadar memudahkan perjalanan pulang, malah membawa makna yang besar buat mahasiswa untuk kembali berkumpul bersama keluarga dan merasai kemeriahan Aidilfitri di kampung halaman setelah sekian lama menuntut ilmu di perantauan.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada para pembayar zakat yang mana MAIWP menjadi pengantara untuk mengagihkan zakat yang dibayar.

“Tanpa komitmen para pembayar zakat, sudah tentu program bantuan seperti ini tidak dapat dilaksanakan secara maksimum dan menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast