KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan stok bekalan makanan asas negara berada pada tahap yang sangat kukuh di sebalik konflik di Asia Barat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rantaian bekalan makanan negara tidak terjejas secara langsung kerana majoriti sumber import Malaysia tidak melalui laluan konflik di Selat Hormuz.
Menurutnya, pemantauan rapi telah dilakukan bagi memastikan bekalan makanan dan barangan ruji mencukupi untuk keperluan rakyat bagi tempoh lima hingga enam bulan akan datang.
“Buat masa ini, jangan kita bimbang apa-apa. Rakyat boleh menyambut hari raya dengan tenang.
“Sekurang-kurangnya sehingga bulan Mei atau Jun ini, bekalan adalah terjamin, malah Kabinet juga telah bersetuju untuk meningkatkan stok simpanan beras negara agar mencukupi sehingga tempoh sembilan bulan akan datang,” katanya dalam sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet Khas hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan keadaan bekalan beras, daging, ayam, telur, ikan, susu segar serta sayur dan buah-buahan semuanya dalam keadaan mencukupi.
“Walaupun pasaran global berdepan ketidaktentuan, kedudukan geografi sumber import Malaysia yang banyak melibatkan negara Asean, India, Pakistan, Australia, dan New Zealand dan ia memberikan kelebihan dari sudut keselamatan bekalan.
“Tapi jika konflik tersebut berlarutan, ia mungkin memberi kesan kepada kos logistik dan pengangkutan yang boleh mempengaruhi harga barangan di pasaran,” tambahnya.
Mohamad berkata, bagi mendepani cabaran itu, kementerian akan meluas dan mempergiatkan program jualan terus kepada rakyat.
“Kita akan tingkatkan Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara bagi memastikan masyarakat mendapat harga yang berpatutan.
“Melalui inisiatif ini, rakyat boleh menikmati potongan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran biasa,” tambahnya.
Dalam pada itu, sebagai langkah persediaan jangka panjang, Mohamad turut menyarankan rakyat kembali kepada amalan menanam sendiri sayur-sayuran di rumah.
“Kita berbalik kepada semangat Kempen Buku Hijau yang pernah diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.
“Saya mengarahkan pegawai-pegawai kementerian yang mempunyai tanah di kediaman masing-masing untuk mula menanam tanaman jangka pendek yang cepat membuahkan hasil.
“Kita tidak tahu bila krisis antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran ini akan tamat.
“Jadi, mulakanlah tanaman yang cepat hasilnya seperti cili, terung, atau kucai.
“Ini adalah persediaan kita selain daripada jaminan bekalan yang telah sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette















