MHO membuat pendedahan eksklusif bagaimana sindiket ahlong atau pemimjam wang ‘haram’ meraih ke untung an mencecah RM27juta setahun.

KUALA LUMPUR – Satu telefon bimbit yang dipercayai mengandungi maklumat operasi sindiket pinjaman wang haram didakwa ada bukti kegiatan terancang yang meraih keuntungan sehingga RM27 juta.

Malah lebih mengejutkan, sindiket terbabit dipercayai sanggup menawarkan RM2 juta bagi mendapatkan semula peranti tersebut.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan, telefon itu mengandungi pelbagai maklumat penting mengenai operasi dalaman sindiket yang menyamar sebagai pemberi pinjaman berlesen.

Kandungan peranti tersebut menunjukkan bagaimana kegiatan pinjaman wang haram dikendalikan secara tersusun seolah-olah sebuah organisasi dengan sistem pengurusan sendiri.

“Daripada maklumat yang kami lihat, kegiatan ini bukan operasi kecil atau berselerak. Ia mempunyai prosedur operasi yang jelas termasuk pengurusan komunikasi dengan peminjam, sistem elaun dan kolateral serta strategi yang digunakan sekiranya berdepan siasatan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Beliau berkata, maklumat dalam telefon itu turut menunjukkan bagaimana sindiket berkenaan mengurus pangkalan data mangsa serta memantau peminjam yang gagal membuat bayaran.

“Kandungan tersebut menunjukkan wujudnya satu sistem yang lengkap untuk mengurus pinjaman, memantau mangsa dan juga langkah yang perlu diambil terhadap peminjam yang lewat membayar,” ujarnya. 

Menurutnya, maklumat yang ditemui juga mendedahkan pinjaman yang didakwa kononnya berlesen sebenarnya mengenakan kadar faedah tinggi sehingga membolehkan sindiket itu meraih keuntungan besar.

“Berdasarkan maklumat yang ada, keuntungan daripada operasi ini dianggarkan mencecah sekitar RM27 juta,” dedahnya.

Beliau berkata, kepentingan telefon tersebut sebagai bukti turut dibuktikan apabila pihak yang dipercayai berkait dengan sindiket berkenaan cuba mendapatkan semula peranti tersebut.

Sehubungan itu, Hishamuddin menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kandungan telefon tersebut bagi menjejak rangkaian sebenar sindiket yang terlibat.

“Kami berharap polis dapat melihat perkara ini secara serius kerana bukti yang ada menunjukkan ia satu operasi jenayah terancang,” katanya lagi. 

Pada masa sama, beliau menyeru mangsa kegiatan pinjaman wang haram supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan dijalankan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, keberanian mangsa tampil membuat laporan amat penting untuk memastikan sindiket terbabit dapat dibongkar sepenuhnya.

Hishamuddin turut mempersoalkan amalan laporan kes yang didakwa berakhir dengan keputusan tiada tindakan lanjut (No Further Action – NFA) tanpa siasatan menyeluruh.

“Kita tidak mahu kes sebegini hanya berakhir dengan laporan penutup atau NFA tanpa tindakan tegas,” katanya.

Beliau juga menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mangsa supaya tidak hanya bergantung kepada rundingan semata-mata.

Sebaliknya, katanya, NGO perlu meningkatkan tekanan melalui tindakan undang-undang dan desakan supaya tangkapan serta pendakwaan dilakukan terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan pinjaman wang haram itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast