Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan pengurangan kadar sewa sebanyak 50 peratus bagi tapak penjaja dan premis tertentu di bawah seliaannya bermula 1 April ini hingga 31 Disember tahun depan bagi membantu peniaga kecil menangani tekanan kos sara hidup, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 10,000 penyewa di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang mengumumkan perkara itu memaklumkan, inisiatif tersebut dilaksanakan susulan peningkatan kos sara hidup akibat ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia serta kos logistik.

Menurut beliau, langkah tersebut menjadikan DBKL antara pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia yang melaksanakan pengurangan kadar sewa secara menyeluruh pada skala besar bagi membantu penjaja dan peniaga mikro di kawasan bandar.

“Pengurangan ini melibatkan potongan sebanyak 50 peratus dengan kadar sewaan minimum ditetapkan pada RM50 sebulan.

“Ini bermakna walaupun potongan 50 peratus diberikan, kadar sewaan akhir yang dikenakan kepada penyewa tidak akan kurang daripada RM50 sebulan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Penjaja Bandar seri Permaisuri di sini, hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ketika menjelaskan perkara itu berkata, bagi premis yang mempunyai kadar sewa RM50 dan ke bawah, kadar sewaan tersebut akan dikekalkan tanpa sebarang pengurangan.

Sebagai contoh jelasnya, jika kadar sewaan asal RM160 sebulan, selepas potongan 50 peratus ia menjadi RM80.

“Bagi kadar sewaan RM80 pula, potongan matematik menjadikan RM40 namun kadar sebenar yang dikenakan ialah RM50 kerana tertakluk kepada kadar minimum yang ditetapkan.

“Dalam masa sama, sekiranya kadar sewaan asal ialah RM30, kadar tersebut akan kekal pada kadar sedia ada iaitu RM30 sebulan,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi menikmati insentif tersebut, penyewa perlu terlebih dahulu menjelaskan sebarang tunggakan sedia ada sebelum layak menerima pengurangan kadar sewa berkenaan.

Langkah itu juga diambil memandangkan terdapat permintaan tinggi daripada pemohon lain untuk mendapatkan tapak penjaja dan premis perniagaan di bawah seliaan DBKL.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan dasar yang dilaksanakan memberi kelegaan nyata kepada peniaga kecil tanpa menjejaskan keupayaan DBKL untuk terus menyediakan kemudahan dan perkhidmatan berkualiti kepada warga kota,” katanya.

Tambah beliau, DBKL akan terus memantau perkembangan kos sara hidup serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar yang inklusif, berdaya tahan dan prihatin terhadap kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast