Neow Choo Seong

KUALA LUMPUR – Sektor perikanan di Perak kini berhadapan situasi kritikal apabila dianggarkan lebih 1,000 buah bot nelayan Zon B tersadai dan tidak dapat turun ke laut sejak Jun 2024 susulan kemelut pembaharuan lesen penangkapan ikan.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, isu  yang berlarutan itu bukan sahaja mengakibatkan kerugian hasil tangkapan mencecah RM30 juta sebulan malah dikhuatiri bakal mencetuskan krisis kekurangan bekalan ikan dan kenaikan harga makanan laut menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, faktor utama kegagalan pembaharuan lesen tersebut berpunca daripada syarat teknikal membabitkan pemasangan enjin bot yang melebihi had 200 kuasa kuda (kk).

“Nelayan sekarang tersepit apabila diarah menukar semula enjin kepada had maksimum 200kk mengikut pekeliling dasar pelesenan yang dianggarkan menelan kos sekitar RM100,000 hingga RM200,000 bagi setiap pemilik bot.

“Lebih membebankan, kebanyakan nelayan perlu tanggung kos tersebut secara tunai kerana kesukaran mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Katanya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan ketidaktentuan geopolitik global, ia memberi kesan kepada harga alat ganti serta diesel.

“Arahan ini dianggap sangat tidak munasabah dan menekan golongan nelayan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Choo Seong menambah mengenai ‘kesan domino’ jika isu itu gagal ditangani segera oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Jabatan Perikanan Malaysia.

“Dengan anggaran potensi kehilangan hasil tangkapan sekitar 10,000 tan ikan sebulan, pasaran tempatan bakal berdepan kekurangan bekalan yang drastik.

“Perak antara negeri penyumbang pendaratan ikan marin tertinggi di Malaysia. Jika bot-bot ini terus tersadai, ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan keluarga nelayan, tetapi turut memberi kesan kepada penilaian Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) negara,” katanya.

Sementara itu, Choo Seong turut mendesak kerajaan agar mengambil pendekatan yang lebih pragmatik dan fleksibel dalam memudahcarakan proses pembaharuan lesen supaya nelayan dapat kembali ke laut.

“Pihak berwajib perlu lakukan segera sesi libat urus dan tinjauan padang dan dengar sendiri keluhan persatuan nelayan yang terkesan.

“Dasar kerajaan seharusnya lebih mesra rakyat dan tidak membebankan, terutama ketika nelayan sedang bergelut dengan tekanan peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast