CHERAS – Tiga nama besar dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat ‘turun pangkat’ selepas rombakan struktur kepimpinan Majlis Tertinggi gabungan itu diumumkan hari ini.
Bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini memegang jawatan timbalan pengerusi selepas kerusi nombor satu itu diambil alih Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dilantik sebagai Pengerusi baharu PN.
Turut menerima perubahan peranan ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini menyandang jawatan Timbalan Setiausaha Agung PN selepas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung yang baharu.
Mohamed Azmin sebelum ini memegang jawatan Setiausaha Agung PN namun meletakkan jawatan tersebut pada 1 Januari lalu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut dilihat mengalami perubahan kedudukan jawatan apabila kini memegang jawatan Bendahari Agung PN berbanding sebelum ini sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.
Jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN kini dipegang Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin yang dilantik sebagai muka baharu dalam struktur tersebut manakala Tan Sri Annuar Musa pula diberi peranan sebagai Ketua Penerangan PN.
Dalam pada itu, dua presiden parti komponen PN iaitu Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau dan Presiden MIPP, Punithan Paramsiven kekal memegang jawatan Timbalan Pengerusi dalam gabungan berkenaan.
Bagi kuota Pas, timbalan presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN menggantikan Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, jawatan Ketua Wanita PN turut menyaksikan perubahan apabila Datuk Mas Ermieyati Samsudin digugurkan selepas digantung keahlian parti selama dua penggal atau enam tahun kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Tempat beliau kini diisi oleh Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi manakala jawatan Ketua Pemuda PN kekal disandang Afnan Hamimi Taib Azamuddeen. – MalaysiaGazette
















