Ab Rauf (dua dari kiri) bergambar bersama petugas media pada program moreh bersama pengamal media di Melaka malam tadi.

MELAKA – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat negeri yang dijadualkan pada 28 Mac ini tetap diteruskan seperti dirancang sebagai tanda penghargaan kepada rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan tradisi meraikan Aidilfitri bersama rakyat dapat diteruskan.

“Melaka akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri ini pada tarikh yang telah ditetapkan iaitu 28 Mac 2026, demi rakyat, untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pada program moreh bersama pengamal media di sini malam tadi.

Ab Rauf berkata, selain rumah terbuka peringkat negeri, majlis rumah terbuka beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara dijadualkan pada 12 April ini juga akan diteruskan.

“Pada 12 April nanti saya akan mengadakan rumah terbuka dan kita turut menjemput kumpulan muzik Dewa 19 bagi memeriahkan lagi sambutan tersebut.

“Jadi saya menjemput orang ramai khususnya rakyat Melaka untuk hadir memeriahkan kedua-dua majlis berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu dibuat sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.

Selain pembatalan majlis rumah terbuka, Perdana Menteri turut memaklumkan menteri dan anggota pentadbiran juga dihadkan daripada melakukan lawatan ke luar negara kecuali bagi urusan yang telah dijadualkan atau wajib dihadiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast