KEPALA BATAS – “Ayah berkali-kali cuba selamatkan mak, tapi gagal kerana api marak cepat kurang seminit”.
Itu luahan Mohammad Nazrul Nizam Yacob, 35, anak ketiga kepada Siti Aisyah Ahamad, 58, yang rentung dalam kebakaran rumahnya di Kampung Guar Kepayang di sini, petang semalam.
Mohammad Nazrul Nizam berkata, bapanya, Yacob Aziz yang berusia 66 tahun meredah api bagi menyelamatkan ibunya yang mempunyai masalah lutut dan sukar berjalan laju.
Bagaimanapun, katanya, ibunya bukan orang kelainan upaya (OKU) sebaliknya hanya mengalami masalah sakit lutut sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, tindakan itu menyebabkan bapanya melecur pada bahagian tangan, muka, kepala serta belakang badan sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan.

“Ayah sudah cuba sedaya upaya menarik mak keluar dari bilik tidurnya, namun gagal sebelum dia ditemui dalam keadaan badan, muka dihempap bara papan rumah.
“Memang ketika kejadian abang kedua saya, Norshisyam, 36, berada di rumah, namun dia melecur di kedua-dua kaki selepas menyelamatkan sepupu kami berusia lapan tahun yang berada di dalam rumah ketika itu, sekali gus menyebabkan pergerakannya terbatas untuk menyelamatkan orang lain.
“Dia juga kini sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) akibat kecederaan yang dialaminya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut, Mohammad Nazrul Nizam meluahkan rasa terkilan apabila kira-kira 10 minit sebelum kejadian, ibunya sempat menghantar pesanan WhatsApp kepada isterinya meminta dibelikan nasi kerabu untuk berbuka puasa.
“Ketika itu saya baru pulang dari kerja dan bercadang untuk keluar semula membeli nasi kerabu, namun dikejutkan dengan berita rumah mak yang terletak berhampiran rumah saya terbakar.
“Sepanjang kami membesar, tidak pernah memakai baju raya sama warna, tetapi tahun ini mak sendiri belikan untuk kami semua baju berwarna kelabu untuk dipakai bersama pada Aidilfitri nanti. Tak sangka impiannya tidak kesampaian, bukan sahaja semua persiapan musnah malah mak juga pergi meninggalkan kami.

“Tambahan pula ini 10 malam Ramadan terakhir dan kami diuji dengan kehilangan mak. Namun sebagai anak saya reda kerana mak pernah berpesan kepada abang yang tinggal berdepan rumahnya bahawa dia mahu meninggal pada hari Jumaat,” katanya.
Tambah anak ketiga daripada enam beradik itu, jenazah ibunya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Tuan Samad, Permatang Sungai Dua selepas proses bedah siasat selesai di Jabatan Forensik Hospital Kepala Batas pagi ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu media melaporkan seorang wanita warga emas maut manakala tiga lagi cedera dalam kebakaran di rumah mereka.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pukul 4.59 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di sebuah bilik pukul jam 5.55 petang dan kebakaran itu mengakibatkan kira-kira 70 peratus struktur rumah musnah.
“Operasi tamat jam 8.31 malam dan lokasi kebakaran diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) serta polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















