Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohd Razali Alias tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah AS$20,000, ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 29 JANUARI 2026 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan esok bagi sebutan dua kes rasuah berprofil tinggi melibatkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Di hadapan Hakim Suzana Hussin, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan ATM, Datuk Mohd. Razali Alias didakwa atas satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah AS$20,000 dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM64,600 bagi pihak isterinya, Datin Azarina Bakia.

Di mahkamah serupa, Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Datuk Mohamed Fauzi Kamis didakwa pecah amanah wang RM5 juta milik Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), tiga tahun lalu.

Mohd. Razali dan Mohamed Fauzi masing-masing mengaku tidak bersalah ketika didakwa pada 29 dan 30 Januari lalu.

Esok ditetapkan untuk sebutan kes bagi perkembangan serahan dokumen.

Mohd. Razali dibenar ikat jamin RM50,000 manakala Mohamed Fauzi RM100,000.

Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohd Razali Alias tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menerima rasuah berjumlah AS$20,000. Foto SADIQ SANI, 29 JANUARI 2026 (GAMBAR FAIL)

Mohd. Razali, 60, yang merupakan bekas pegawai tertinggi Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO), menghadapi pertuduhan pertama, secara rasuah menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah AS$20,000 daripada Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A. Rahman di antara Ogos dan November 2024 di MDIO, Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini.

Menurut pertuduhan, suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk dirinya selaku pegawai badan awam, iaitu Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan untuk pembayaran Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem, Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC), Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan kedua, Mohd. Razali didakwa menerima untuk isterinya suatu benda berharga iaitu pembayaran berjumlah RM26,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi dan balik ke Malaga, Sepanyol, dengan tanpa balasan daripada Sheikh Ahmad Nafiq.

Menurut pertuduhan, dia didakwa menerimanya daripada individu tersebut yang merupakan Pengarah Syarikat Intelligence PC Centre Sdn. Bhd. yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya sebagai penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO, ATM.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 15 November 2024 di tempat sama, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketiga, bekas pegawai tertinggi perisikan ATM itu didakwa menerima untuk isterinya pembayaran berjumlah RM37,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik ke Estonia daripada individu tersebut pada 28 April tahun lalu di tempat sama, mengikut seksyen sama.

Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi satu pertuduhan rasuah. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JANUARI 2026 (GAMBAR FAIL)

Sementara itu, Mohamed Fauzi didakwa menyalahgunakan harta milik TKAT dalam akaun sebuah bank dengan membuat pelaburan tambahan dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa mendapat kelulusan jawatankuasa pelaburan tabung berkenaan.

Tertuduh, 56, yang juga bekas Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, didakwa melakukan perbuatan itu ketika berjawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA), Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan, No. 15, Jalan Padang Tembak di sini pada 27 November 2023.

Mohamed Fauzi didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast