Tular foto memaparkan seorang murid seorang murid didakwa dipukul guru besar di sebuah sekolah do Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Polis sedang melengkapkan kertas berhubung kes seorang murid tahun satu sebuah sekolah rendah di daerah ini yang mendakwa dipukul sehingga cedera oleh guru besar.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi berkata, proses melengkapkan kertas dilakukan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Belum ada pertuduhan dibuat memandangkan kita masih dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri (TPR) Johor,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan.

Aznan berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan siasatan kes berkenaan dapat dijalankan secara telus dan adil.

“Pada hari kejadian, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara melalui Balai Polis Skudai sudah hadir ke lokasi kejadian di sekolah terlibat bagi menjalankan siasatan awal.

“Ini termasuk mengambil gambar lokasi kejadian serta mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru menyalurkan maklumat berkaitan guru besar sekolah berkenaan kepada pegawai penyiasat, termasuk rekod prestasi tahunan serta rekod disiplin seperti yang diminta bagi membantu melengkapkan proses siasatan.

Menurutnya, beberapa guru turut hadir ke IPD Johor Bahru Utara bagi memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dengan memberikan keterangan berkaitan situasi sebenar insiden tersebut.

“Ketika ini, kes berkenaan masih berada di bawah siasatan pihak IPD Johor Bahru Utara,” katanya lagi.

Aznan berkata, JPNJ turut menasihatkan semua barisan pentadbir sekolah supaya memastikan keadaan di sekolah masing-masing kekal terkawal dan kondusif demi menjamin kelancaran sesi persekolahan serta kesejahteraan murid-murid.

Malah, tegasnya, kerajaan negeri juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya didapati bersalah dan tindakan sewajarnya perlu diambil selaras dengan undang-undang demi menjaga integriti institusi pendidikan serta keselamatan murid-murid di negeri ini.

Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian itu memandangkan siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Penyebaran maklumat yang tidak tepat bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menimbulkan keresahan yang tidak perlu,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang murid tahun satu sebuah sekolah rendah di daerah ini ditemui trauma dan cedera dalam tandas sekolah selepas mendakwa dipukul guru besar sekolah berkenaan.

Polis yang menerima laporan dibuat bapa mangsa kemudian menahan suspek lelaki berusia 48 tahun iaitu guru besar sekolah itu bagi membantu siasatan.

Suspek disyaki memukul mangsa yang berusia tujuh tahun itu sehingga cedera ketika di kantin sekolah pada pukul 7.39 pagi, Selasa lalu.

Suspek yang mendapat perintah reman selama tiga hari berakhir kelmarin telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, satu hantaran dalam Facebook yang dimuat naik ibu saudara mangsa, tular dengan memaparkan keadaan kanak-kanak itu ketika ditemui.

Katanya, kanak-kanak itu hadir ke sekolah seperti biasa pada hari kejadian dihantar oleh abang kandungnya sebelum beberapa jam kemudian, keluarga mendapat panggilan yang memaklumkan kanak-kanak itu ditemui dalam tandas sekolah dalam keadaan cedera.

“Kakak saya dan suaminya terus bergegas ke sekolah dan mendapati anak mereka dalam keadaan trauma, dengan luka dan darah di bahagian mulut serta muka yang bengkak.

“Anak saudara saya kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk rawatan lanjut. Dia memaklumkan bahawa dia dipukul oleh guru besar sekolah,” tulisnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast