Datuk Jamal Abdillah.

KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah akan menjalani pembedahan kecil bagi merawat masalah hernia atau angin pasang di sebuah pusat perubatan di sini, Khamis ini.

Jamal, 67, mendedahkan masalah kesihatan itu mula menyerangnya sejak awal Ramadan akibat tekanan ketika melakukan persembahan.

“Bulan puasa ini banyak acara selepas berbuka, bufet Ramadan. Saya baru 10 hari menghidapinya. Apabila perut kosong dan tidak sempat diisi sebelum terus menyanyi nada tinggi dengan jumlah lagu yang banyak, memang boleh terkena hernia.

“Angin pasang ini mengakibatkan bengkak sebesar ibu jari di bahagian atas alat sulit. Apabila mahu menolak suara bernada tinggi, ia terasa sakit. Sepatutnya pembedahan dilakukan hari ini tetapi terpaksa ditangguhkan kepada Khamis kerana saya ada tiga program di Kulim, Kedah,” katanya kepada Harian Metro di sini hari.

Menurut Jamal, masalah hernia atau kecederaan abdomen bukanlah perkara asing dalam kalangan penyanyi profesional dunia yang sering memberikan tekanan kuat semasa persembahan.

“Penyanyi opera legenda seperti Luciano Pavarotti, Andrea Bocelli dan beberapa penyanyi Broadway pernah mengalami masalah serupa. Dalam dunia opera dan teater muzikal, hernia agak dikenali kerana latihan vokal intensif dan penggunaan tekanan abdomen yang tinggi.

“Sebab itu ramai jurulatih vokal menekankan teknik pernafasan yang betul supaya tekanan tidak terlalu kuat pada otot perut,” katanya.

Walaupun hanya membabitkan pembedahan kecil, Jamal memberitahu, beliau perlu berehat sekurang-kurangnya selama 10 hari untuk pemulihan sepenuhnya.

“Insya-Allah… Mohon doakan saya iya,” katanya mengharapkan sokongan daripada peminat.

Dalam perkembangan lain, Jamal turut berkongsi pembabitan dalam dunia perniagaan melalui projek Awan Nano Glass House yang merangkumi dewan perkahwinan dan restoran di Kulim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast