KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus mengekalkan keistimewaan Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, bagi memastikan ia kekal menjadi destinasi tumpuan utama warga kota dan pelancong.
Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata, usaha memperkasakan bangunan ikonik tersebut itu akan dipergiat menerusi penganjuran pelbagai program kemasyarakatan yang lebih kerap pada masa akan datang.
“Walaupun program ini (berbuka puasa di Dataran Merdeka) telah dibuat sepanjang 14 tahun, tetapi kali ini agak unik kerana Kerajaan Madani telah menaik taraf Bangunan Sultan Abdul Samad.
“Malah bangunan ini menjadi tular dan ‘trending’ dalam media sosial terutamanya pada waktu malam, lampu cantik. Jadi hasrat kita adalah terus menyediakan kawasan lapang untuk pastikan warga kota ada tempat berekreasi bersama keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Iftar Ramadan dan Malam 7 Likur 2026 di Dataran Merdeka hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Mengulas mengenai kebersihan di Bangunan Abdul Samad dan sekitar ibu kota, Hannah meminta kerjasama orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan selepas makan dengan membuang sampah ditempat yang disediakan.
“Usaha ini penting seiring dengan penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat yang telah diperkenalkan bagi pesalah yang membuang sampah di tempat awam.
“Undang-undang sudah dipinda, siapa ditangkap akan dikenakan hukuman khidmat komuniti, dan kita minta kerjasama semua pihak,” jelasnya.

Mengenai penganjuran tradisi Program Iftar Ramadan di Dataran Merdeka, Fadlun berkata, ia sudah memasuki tahun ke-14 dan membuktikan kawasan itu kekal menjadi pilihan utama warga kota dan pelancong untuk merasai kemeriahan bulan Ramadan.
“Untuk Malam 7 Likur ini juga kita modenkan dengan lampu yang biasa dan ini salah satu acara yang ditawarkan dalam Tahun Melawat Malaysia kepada pelancong dengan dimulakan berbuka puasa secara beramai-ramai.
“Program ini akan diteruskan sehingga Hari Raya Aidilfitri khususnya kepada warga kota yang menyambut perayaan di sini bagi merasai suasana di bangunan Sultan Abdul Samad,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















