Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika ditemui media dalam Program Jualan Rahmah di Pangsapuri Desa Dato' Hajah Hasnah, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Malaysia mempergiat usaha peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan tenaga global.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha tersebut sedang dilakukan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil selain meningkatkan daya tahan negara terhadap gangguan bekalan tenaga global.

Menurut beliau, inisiatif peralihan kepada tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro dilaksanakan menerusi pelan hala tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan pencapaian sifar pelepasan karbon bersih menjelang tahun 2050.

“Tenaga boleh diperbaharui mempunyai kelebihan kerana sumbernya tidak akan pernah habis selain tidak bergantung kepada import bahan api dari luar negara.

“Tenaga solar boleh dijana selagi terdapat sinaran matahari. Selain itu, tenaga boleh diperbaharui juga bersifat domestik kerana ia tidak bergantung kepada import bahan api dan kurang terdedah kepada gangguan rantaian bekalan tenaga global,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam Program Jualan Rahmah di Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasnah, di sini hari ini.

Katanya, penggunaan tenaga boleh baharu negara kini sudah mencapai kira-kira 25 peratus daripada kapasiti tenaga terpasang dan menjadi asas buat kerajaan menilai langkah mempercepatkan lagi proses peralihan tenaga tersebut.

Menurutnya, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa konflik di Asia Barat melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap minggu.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, MTEN akan meneliti dan mengkaji impak konflik berkenaan terhadap industri pengangkutan khususnya sektor penerbangan serta langkah mitigasi berkaitan bekalan minyak dan gas.

“Mesyuarat berkenaan yang akan dipengerusikan Perdana Menteri di ibu negara, esok turut melibatkan beberapa kementerian lain yang berkaitan dan tokoh industri.

“Pertamanya, kita mahu melihat dari sudut kebolehan bekalan minyak itu sendiri dan langkah-langkah mitigasi bagaimana untuk terus menjamin bekalan buat negara.

“Seterusnya, kita akan zoom in (fokus) kepada industri-industri yang terkesan akibat gangguan bekalan minyak di peringkat global ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast