Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai bersama sebahagian rakan strategik menyampaikan sumbangan kepada 200 orang asnaf serta beberapa artis veteran tempatan yang sedang berhadapan kesukaran hidup.

KUALA LUMPUR – Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai meraikan seramai 200 golongan asnaf termasuk memberi sumbangan kepada surau-surau dan sekolah-sekolah di bawah kariah masjid, maahad tahfiz dan rumah anak yatim sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi masjid, Datuk Ahmad Nazri Ibrahim berkata, ia diadakan pada Majlis Berbuka Puasa Perdana yang merupakan acara tradisi yang dianjurkan setiap tahun sebagai tanda penghargaan dan pengukuhan hubungan strategik bersama rakan-rakan kolaborasi masjid.

“Selain menjadi platform merapatkan ukhuwah, majlis ini turut menzahirkan keprihatinan sosial apabila pihak masjid bersama sebahagian rakan strategik menyampaikan sumbangan kepada 200 orang asnaf serta beberapa artis veteran tempatan yang sedang berhadapan kesukaran hidup.

“Secara keseluruhannya, Majlis Berbuka Puasa Perdana ini bukan sekadar acara berbuka puasa, bahkan menjadi lambang sinergi, penghargaan dan tanggungjawab sosial antara masjid, agensi kerajaan, sektor korporat serta masyarakat setempat,” katanya pada majlis berbuka puasa itu semalam.

Datuk Ahmad Nazri Ibrahim menyerahkan sumbangan kepada surau-surau dan sekolah-sekolah yang di bawah kariah masjid, maahad tahfiz dan rumah anak sepanjang Ramadan ini.

Program itu dihadiri oleh lebih 600 orang tetamu yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, rakan strategik korporat, para penyumbang, jemaah dalam kalangan anak kariah masjid serta golongan asnaf.

Kehadiran yang memberangsangkan itu mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap peranan Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai sebagai pusat ibadah dan kebajikan ummah yang diiktiraf sebagai masjid bertaraf lima bintang oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)  sejak 2019.

Ahmad Nazri menambah, majlis itu turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, MAIWP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di samping sekolah-sekolah sekitar Alam Damai yang sentiasa menyokong aktiviti kemasyarakatan masjid.

“Saya berharap untuk melihat Masjid Al-Mukhlisin menjadi contoh yang baik kepada masjid-masjid lain di kawasan Wilayah Persekutuan ini bagi mengimarahkan lagi peranan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah, namun menjadi medan ilmu dan jalinan ukhuwah yang lebih baik.

“Pentadbiran masjid adalah pihak yang diberi amanah oleh kerajaan dan juga anak kariah untuk mentadbir dan menguruskan serta membuat perancangan bagi memaju dan memakmurkan masjid sehingga menjadikannya sebagai pusat kegemilangan umat,” katanya. – MalaysiaGazette

Wakil Kuil Sri Thohaiyadi Vinayagar turut dijemput ke Majlis Berbuka Puasa Perdana Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast