KUALA LUMPUR – Seorang penyelia premis serbaneka di Desa Setapak, di sini berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 24 tahun sekitar pukul 4.43 pagi.
“Dalam kejadian sekitar pukul 1.59 pagi, mangsa didatangi dua lelaki yang memakai pelitup muka hitam, bertopi keledar dan bersenjatakan parang sebelum meminta pengadu menyerahkan wang.
“Akibat rasa takut, mangsa terus menyerahkan wang tunai seperti yang diminta suspek berjumlah berjumlah RM 2,467.50.
“Selain itu, suspek turut mengambil dua telefon bimbit jenama Iphone 15 dan Redmi 14 milik pengadu dan seorang lagi kakitangan ketika kejadian itu, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal dan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM6,067.50.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan.- MalaysiaGazette
















