Dr. Roland Victor

KUALA LUMPUR – Promosi dan penjualan ubat penurunan berat badan secara dalam talian tanpa pemantauan perubatan yang jelas kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengamal perubatan.

Pengamal perubatan, Dr Roland Victor berkata, beliau menerima banyak permintaan daripada rakan doktor untuk mengulas isu berhubung penggunaan ubat seperti Mounjaro dan Ozempic, yang semakin popular dalam kalangan individu yang mahu menurunkan berat badan.

Dr Roland yang juga pengasas The KL Sky Clinic berkata, trend tersebut semakin membimbangkan apabila terdapat pihak tertentu menggunakan ejen atau orang suruhan bagi mempromosikan ubat berkenaan melalui siaran langsung di media sosial.

Menurutnya, terdapat juga kes di mana individu lain dijadikan wakil untuk membuat promosi secara langsung walaupun pihak yang menjual ubat tersebut sendiri tidak berada di lokasi atau tidak mempunyai kelayakan perubatan.

“Dalam bidang perubatan, kita perlu sangat berhati-hati kerana banyak faktor perlu dipertimbangkan terutama dari segi kualiti, keselamatan dan kesesuaian rawatan kepada pesakit.

“Kita tidak boleh melakukan sesuatu rawatan secara sewenang-wenangnya tanpa memahami keseluruhan keadaan kesihatan pesakit,” katanya menerusi media sosial beliau baru-baru ini.

Jelasnya, rawatan menggunakan suntikan ubat penurunan berat badan sememangnya wujud dan digunakan dalam bidang perubatan, namun perlu dilakukan dengan perancangan rawatan yang betul serta pemantauan doktor.

“Bukan semua orang boleh terus mengambil rawatan ini hanya kerana mereka mampu membayarnya. Dalam perubatan, setiap pesakit berbeza dan banyak analisis perlu dibuat terlebih dahulu sebelum rawatan dimulakan,” ujarnya.

Tambah beliau, penggunaan ubat kurus berasaskan GLP-1 (hormon dalam badan yang membantu mengawal paras gula darah dan selera makan) juga melibatkan kos yang agak tinggi dan memerlukan komitmen jangka panjang daripada pesakit.

Menurutnya, bagi tempoh sekitar empat hingga lima bulan rawatan, seseorang mungkin perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM6,000 hingga RM10,000, bergantung kepada dos serta pemantauan perubatan yang diperlukan.

“Biasanya rawatan bermula dengan dos 2.5 miligram dengan kos sekitar RM250 bagi setiap suntikan, iaitu kira-kira RM1,000 sebulan jika diambil setiap minggu.

“Dos ini lazimnya akan meningkat kepada lima miligram dengan kos sekitar RM300 seminggu atau kira-kira RM1,200 sebulan, sebelum meningkat lagi pada bulan berikutnya sehingga kos rawatan bulanan boleh mencecah sekitar RM2,200,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya terdapat pihak yang menawarkan ubat sama pada harga terlalu murah seperti RM150 atau RM200, kerana ia mungkin menjadi perangkap pemasaran.

Menurutnya, pada peringkat awal pengguna mungkin melihat penurunan berat badan seperti satu atau dua kilogram, namun selepas itu dos biasanya perlu dinaikkan untuk mengekalkan keberkesanan rawatan.

“Apabila seseorang sudah berada di pertengahan rawatan, ramai yang sukar berhenti kerana mereka sudah bergantung kepada ubat tersebut untuk meneruskan proses penurunan berat badan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, penggunaan ubat berkenaan juga memerlukan pemantauan kesihatan secara berkala termasuk ujian hormon, fungsi hati, tiroid serta paras gula dalam darah.

“Namun, paling penting, pelanggan mesti tahu apa tujuan mereka memilih rawatan ini dan sejauh mana mereka bersedia untuk meneruskannya sehingga mencapai sasaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan isu penjualan ubat penurunan berat badan secara tidak terkawal perlu dibendung bagi mengelakkan risiko kepada pengguna.

“Pada akhirnya ia kembali kepada doktor sendiri. Apa yang kita mahu utamakan penjagaan pesakit atau keuntungan semata-mata,” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast