PUTRAJAYA – Semua hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang cuti umum Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hospital KKM kekal beroperasi 24 jam sehari seperti mana amalan pada setiap musim cuti umum yang lain.
Menurutnya, kakitangan perubatan yang telah dijadualkan bertugas secara on-call akan terus berada di hospital bagi memastikan rawatan kepada pesakit berjalan lancar.
“Pengoperasian di hospital-hospital KKM akan terus berjalan seperti biasa, 24 jam. Kami bekerja sepanjang masa sebagaimana pada hari cuti umum yang lain,” katanya ketika mengulas mengenai kesiapsiagaan fasiliti kesihatan kerajaan sepanjang cuti Aidilfitri.
Terdahulu beliau melancarkan program ‘Kembara Beraya Bersama Cik Era dan Pelancaran Cik Era (AI assistant di portal JomQuit KKM) di sini.
Dr Dzulkefly turut memaklumkan pesakit yang mempunyai temu janji di klinik pakar atau pusat rawatan harian yang jatuh pada hari cuti umum tersebut akan dihubungi oleh pihak hospital untuk menetapkan tarikh temu janji baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata, KKM akan terus memantau situasi kesihatan awam serta sebarang kejadian yang berpotensi memberi impak kepada masyarakat melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) di peringkat negeri dan kebangsaan.
Katanya, pemantauan berterusan itu penting bagi memastikan sebarang insiden kesihatan awam dapat ditangani dengan segera sepanjang tempoh perayaan. – MalaysiaGazette
















