Program Sumbangan Bubur Lambuk anjuran Yayasan Ar Riduwan diadakan sebanyak dua fasa bermula 22 Februari dan 2 Mac lalu.

KUALA LUMPUR – Yayasan Ar Riduwan (YAR) komited memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila mengagihkan sebanyak 8,000 bungkusan bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Operasi YAR, Lokmanulhakim Muhamad Riduwan berkata, dikenali sebagai Program Sumbangan Bubur Lambuk, ia diadakan sebanyak dua fasa bermula 22 Februari dan 2 Mac lalu, dengan memberi fokus kepada petugas kesihatan, pesakit serta waris yang berada di sekitar hospital.

Menurutnya, sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diagihkan di setiap hospital termasuk balai polis terpilih sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berkhidmat tanpa mengira masa, serta sebagai sokongan moral kepada mereka yang sedang diuji dengan kesakitan.

“Penganjuran program ini adalah untuk berkongsi rezeki serta menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan bersama komuniti setempat.

“Ini kerana wajah-wajah syukur dan senyuman yang terukir menjadi bukti bahawa sentuhan kecil mampu memberi makna besar yang menggambarkan roh sebenar Ihya’ Ramadan dalam menyantuni dan menghidupkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.

“YAR juga percaya CSR bukan sekadar sumbangan tetapi usaha berpanjangan dalam membina hubungan yang kukuh dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program Sumbangan Bubur Lambuk anjuran Yayasan Ar Riduwan diadakan sebanyak dua fasa bermula 22 Februari dan 2 Mac lalu.

Antara enam hospital yang terlibat dalam program itu adalah Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Kajang, Hospital Sg Buloh, Hospital, Selayang selain Balai Polis Wangsa Maju dan Balai Polis Melawati yang disokong 12 kakitangan sukarelawan yayasan.

YAR yang berdaftar Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri mula beroperasi tahun lalu dengan misi memberi bantuan kepada kluster kesihatan, komuniti dan pendidikan.

Mengulas lanjut, Muhamad Riduwan berkata, YAR akan mempertimbangkan untuk memperluaskan program itu ke negeri lain pada masa depan agar lebih ramai masyarakat dapat menerima manfaat daripada inisiatif yang dijalankan.

Beliau turut berharap orang ramai terus menyokong Program Ihya’ Ramadan 2026 itu serta program kebajikan kesihatan yang akan dijalankan YAR secara berterusan sepanjang tahun ini.

Kata beliau, sumbangan yang diberikan akan disalurkan bagi bantuan peralatan hospital, sokongan kos rawatan pesakit asnaf, sumbangan makanan dan keperluan asas, program kebajikan komuniti dan kesihatan.

“Setiap ringgit yang disumbangkan adalah pelaburan akhirat dan bukti keprihatinan anda terhadap mereka yang memerlukan.

“Bersama kita terus menghidupkan Ramadan dengan amal, keikhlasan dan keberkatan,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbangkan derma menerusi akaun Maybank – 551043833248 atas nama Yayasan Ar Riduwan dengan rujukan Kebajikan Kesihatan. – MalaysiaGazette

Sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diagihkan di setiap hospital termasuk balai polis terpilih.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast