Penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth ditahan berhampiran kompleks beli-belah Sogo di sini, malam ini.

KUALA LUMPUR – Peguam Haniff Khatri Abdulla memaklumkan terdapat kemungkinan Zamri Vinoth akan dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur esok bagi menghadapi pertuduhan, namun setakat ini perkara itu masih belum disahkan oleh pihak berkuasa.

Haniff yang juga Penasihat Undang-Undang Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) berkata, keputusan sama ada pertuduhan akan diteruskan atau sebaliknya hanya dimaklumkan oleh pihak berkuasa esok.

“Setakat ini belum pasti lagi tetapi ada kemungkinan esok saudara Zamri Vinoth akan dibawa untuk pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur.

“Pihak berkuasa cuma akan buat keputusan dan maklumkan esok,” katanya dalam satu makluman kepada media malam ini.

Penasihat Undang-Undang Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Mohamed Haniff Khatri

Menurut Haniff, maklumat awal itu dikongsikan supaya ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli kumpulan GARAH mengetahui perkembangan terkini kes berkenaan.

“Maklumat ini disampaikan supaya pihak NGO dan individu dalam GARAH ada maklumat tentang kedudukan terkini, dan jika ada yang mahu hadir di mahkamah sekiranya pertuduhan diteruskan esok, maka mereka boleh membuat persediaan,” ujarnya.

Ketika dihubungi MalaysiaGazette, Haniff berkata sebarang perkembangan lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan pada pagi esok.

“Ya. Kalau ada maklumat pagi esok saya akan maklumkan,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, Zamri bersama seorang lagi individu, Tamim Dahri, dipercayai berada di selatan Thailand selepas melarikan diri dari negara ini.

Polis sebelum ini memburu kedua-dua individu berkenaan bagi membantu siasatan berhubung beberapa kenyataan dan kandungan di media sosial yang didakwa menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi mencetuskan ketegangan kaum. -MalaysiaGazette

Zamri Vinoth, Tamim Dahri dikesan berada di selatan Thailand

Zamri Vinoth, Tamim Dahri larikan diri ke Thailand – Polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast