Zamri Vinoth dan Tamim Dahri.

KUALA LUMPUR – Dua individu yang sedang disiasat pihak berkuasa, Zamri Vinoth dan Tamim Dahri dipercayai berada di selatan Thailand selepas dilaporkan meninggalkan Malaysia baru-baru ini.

Maklumat risikan mendapati kedua-dua individu tersebut dipercayai memasuki Thailand melalui pintu sempadan darat di Sungai Kolok, Narathiwat yang bersempadan dengan Rantau Panjang, Kelantan pada Khamis lalu.

Media melaporkan, mereka menggunakan dokumen perjalanan yang sah ketika memasuki negara jiran itu sebelum dikesan berada di kawasan selatan Thailand.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebelum ini mengesahkan siasatan terhadap Zamri dan Tamim telah selesai dijalankan, namun kedua-duanya dipercayai telah melarikan diri ke Thailand ketika proses siasatan berlangsung.

Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan dan membawa pulang kedua-dua individu berkenaan untuk menghadapi tindakan undang-undang di Malaysia.

Siasatan terhadap Zamri dijalankan berhubung kenyataan yang dibuatnya berkaitan penganjuran satu perhimpunan di pekarangan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu.

Kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan arahan telah dikeluarkan supaya beliau didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan melibatkan kesalahan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam atau menimbulkan ketakutan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Dalam perkembangan berasingan, Zamri juga disiasat berkaitan kenyataan yang didakwa menghina masyarakat India dan kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Tamim Dahri pula disiasat berhubung insiden merosakkan soolam, iaitu simbol suci agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah.

Kes tersebut dicadangkan untuk didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana merosakkan atau mencemarkan objek yang dianggap suci oleh mana-mana agama.

PDRM menegaskan usaha menjejaki kedua-dua individu itu sedang dipergiatkan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand bagi memastikan mereka dibawa pulang ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast