Sapiah Haron

MELAKA – Siasatan awal mendapati isu caj parkir sebanyak RM183.38 di Pasar Borong Melaka yang tular sejak semalam dipercayai berpunca daripada ketidakselarasan data dalam sistem parkir.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron berkata, masalah itu dipercayai berlaku susulan penggunaan kad yang berbeza ketika kenderaan masuk dan keluar menyebabkan rekod transaksi tidak lengkap.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan caj parkir terkumpul secara automatik dalam sistem sehingga memaparkan jumlah bayaran yang tinggi.

“Perkara ini kini sedang dalam siasatan lanjut bersama pihak operator sistem parkir yang dilantik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Semakan teknikal awal mendapati kejadian tersebut berkemungkinan berpunca daripada ketidakselarasan data dalam sistem parkir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari hari ini.

Tangkap layar kes caj parkir tidak munasabah yang tular di dalam media sosial.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan kerajaan negeri mengarahkan siasatan segera berhubung dakwaan seorang pengguna dikenakan caj parkir sebanyak RM183.38 ketika keluar dari kawasan parkir di Pasar Borong Melaka yang tular sejak semalam.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, walaupun kes itu mungkin terpencil, kerajaan negeri tetap memandang serius bagi memastikan ia tidak berulang.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu, wanita berkenaan mendakwa, dia pada mulanya menggunakan kad bank milik suaminya untuk keluar dari parkir, namun sistem memaparkan caj RM2.12 sebelum menjadi ‘invalid’.

Menurutnya, selepas diminta kakitangan parkir menggunakan kad lain, dia melakukan transaksi sama dengan kad miliknya sebelum sistem memaparkan caj RM183.38 yang kemudiannya ditolak daripada akaun bank.

Wanita itu turut mendakwa beberapa kenderaan lain ketika itu berdepan masalah sama dan mendakwa pernah berlaku beberapa kes serupa sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan masalah pada sistem parkir di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, pihaknya juga telah menghubungi pengadu bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut selain siasatan bersama pihak operator melalui semakan data sistem serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“MPHTJ juga akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang kelemahan pada sistem yang perlu diperbaiki,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast