PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menambah lebih banyak bengkel di seluruh negara bagi membolehkan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) bagi memastikan semua kenderaan berat mematuhi keperluan pemasangan sistem berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini hanya 20 peratus kenderaan berat yang sudah dipasang dengan peranti itu sejak ia diwajibkan pada Oktober lalu.
Menurut beliau, kementerian sedang mengemas kini senarai bengkel yang dibenarkan melakukan pemasangan SLD bagi memastikan lebih ramai pemilik kenderaan berat dapat mematuhi keperluan tersebut.
“Kita memang sedang menambah baik dengan menambah lebih banyak bengkel untuk pemasangan SLD di seluruh negara dan senarai ini akan terus ditambah bagi memudahkan pemilik kenderaan.
“Kita faham pemasangan dan pengesahan SLD memerlukan rangkaian bengkel yang lebih luas, jadi langkah memperbanyakkan bengkel sedang dilaksanakan,” katanya pada sidang media pengumuman garis panduan kenderaan de-controlled dan pikap bagi membawa barangan di kementeriannya di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, pihaknya mahu pihak industri memandang serius arahan kerajaan berhubung pemasangan peranti tersebut yang telah diwajibkan sebelum ini.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan berkaitan pemasangan SLD juga telah dilaksanakan sejak Oktober tahun lalu.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa syarikat pengeluar turut memohon tambahan masa bagi membantu proses pemasangan serta pengesahan peranti berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 4,295 notis pengesahan pemasangan SLD telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berat setakat Oktober tahun lalu.
Anthony Loke dilaporkan berkata, notis berkenaan dikeluarkan bagi memastikan semua kenderaan berat mematuhi keperluan pemasangan sistem tersebut demi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette
















