Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada Program Forum Ilmuwan Madani di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 MAC 2026.

PUTRAJAYA – Bekas Pemimpin Agung Republik Islam Iran, Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei pernah merayu kepada Amerika Syarikat (AS) untuk melakukan rundingan mengenai program nuklear sejak 15 tahun lalu sebelum diserang.

Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan (SDSN) bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof Jeffery D. Sachs berkata, ia adalah perang pencerobohan yang sama sekali tidak wajar dan tidak rasional oleh Israel dan AS terhadap Iran.

“Ia bukan kerana apa-apa yang dilakukan oleh Iran. Sebaliknya, Iran merayu untuk rundingan, bukan sahaja dalam dua tahun terakhir, bahkan 15 tahun terakhir. Saya kerap dihubungi oleh diplomat tertinggi Iran.

“Apakah nasihat yang anda ada untuk membantu kami dengan Rumah Putih? Siapa yang boleh kami hubungi? Ini kerana mereka (Iran) berminat dengan rundingan,” katanya berucap pada Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Jemaah Menteri.

Sachs juga berkata, perang antara AS-Israel dengan Iran sebenarnya tiada kena-mengena dengan program nuklear Iran kerana pembangunan senjata itu bertentangan dengan Islam.

“Sebenarnya Iran bersama dengan lima ahli tetap Majlis Keselamatan PBB serta Jerman menandatangani perjanjian dengan meletakkan Iran di bawah pengawasan ketat oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), 11 tahun lalu.

“Ia telah disahkan sebulat suara oleh Majlis Keselamatan PBB. Jadi apa yang berlaku? Pada 2018, Trump mengoyakkannya penjanjian itu atas desakan Benjamin Netanyahu.

“Perang ini tiada kena mengena dengan senjata nuklear kerana perjanjian itu telah dicapai. Sudah tentu, selepas Trump merobek perjanjian itu, mereka membunuh pemimpin dan saintis Iran,” katanya.

Beliau juga mengecam tindakan Israel dengan bantuan AS yang sebelum ini meletupkan salah satu kemudahan nuklear Iran sebelum ini.

“Inilah cara AS untuk mengatakan, mengapa anda tidak berunding dengan kami? Ini kejam. Tahun lepas, rakyat Iran kembali ke meja rundingan.

“Apabila masuk pusingan keenam rundingan, Israel mengebom mereka dengan bantuan AS malah selepas itu AS menyertai mereka.

“Itu dipanggil rundingan dari sudut pandangan AS,” katanya.

Sachs juga melahirkan rasa kesal dengan sikap Trump secara terang-terangan mengakui beliau seronok untuk melakukan pengeboman sekali lagi ke atas Iran.

“Ini adalah satu kegilaan. Ini bukan dasar. Ia sangat berbahaya,” katanya.

Katanya lagi, dasar utama AS dalam serangan ketenteraan ke atas beberapa negara Timur Tengah sebelum ini hanyalah bertujuan untuk mentadbir dunia.

“Israel pula bertujuan untuk mentadbir Timur Tengah, tidak lebih daripada itu dan ia adalah hegemoni yang diikat bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast