PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengeluarkan garis panduan penggunaan kenderaan D Kontrol dan Pick-Up bagi Membawa Barangan sebagai penjelasan kepada orang awam, pemilik kenderaan serta pemain industri mengenai penggunaan kenderaan tersebut secara sah dan selamat yang akan berkuat kuasa bermula 1 April ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bertujuan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna jalan raya berkaitan penggunaan kenderaan untuk membawa barangan serta memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan secara lebih konsisten oleh agensi berkaitan.
Menurut beliau, melalui garis panduan tersebut kerajaan menjelaskan bahawa kenderaan barangan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) tidak melebihi 7,500 kilogram dikategorikan sebagai kenderaan D Kontrol dan boleh digunakan oleh pemilik atau syarikat bagi membawa barangan milik sendiri yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan mereka tanpa memerlukan permit pengendali daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Bagaimanapun, sekiranya kenderaan itu digunakan untuk membawa barangan milik pihak ketiga bagi tujuan sewaan atau upah, aktiviti tersebut dianggap sebagai perkhidmatan pengangkutan barangan komersial dan pengendali perlu mendapatkan Permit Pembawa A daripada APAD selaras dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Anthony Loke berkata, bagi kenderaan pikap persendirian, pemilik dibenarkan membawa barangan milik sendiri selagi muatan tersebut diangkut secara selamat, tidak melebihi had muatan kenderaan serta tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, antara contoh barangan yang dibenarkan dibawa menggunakan pikap persendirian termasuk peralatan kerja seperti tangga, mesin rumput, peralatan bengkel, bahan binaan kecil seperti kayu, paip, jubin dan simen, peralatan pertanian serta barangan pindah rumah seperti perabot.
“Selagi barangan itu milik sendiri, tidak melebihi had muatan yang ditetapkan pengeluar kenderaan dan tidak menjulur keluar dari ruang kargo, maka tiada tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya.
Beliau menambah, JPJ juga akan memberi penjelasan kepada pihak polis bagi mengelakkan kekeliruan dalam penguatkuasaan memandangkan terdapat aduan pemilik pikap yang dikenakan saman walaupun hanya membawa barangan sendiri.
“JPJ akan mengadakan mesyuarat berkala dan memaklumkan kepada pihak polis bahawa dasar kita jelas, iaitu pikap persendirian boleh membawa barangan sendiri dan tidak menjadi kesalahan selagi mematuhi syarat keselamatan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Anthony Loke turut memaklumkan kerajaan memberikan kelonggaran pentadbiran kepada pemegang lesen memandu kelas D untuk memandu kenderaan D Kontrol dengan berat tanpa muatan sehingga 4,000 kilogram, berbanding had asal 3,500 kilogram.
Menurut beliau, kelonggaran tersebut mengambil kira pertambahan berat kenderaan akibat pemasangan badan kargo atau struktur tambahan pada kenderaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penggunaan kenderaan persendirian untuk mengambil upah menghantar barangan milik pihak ketiga, menawarkan perkhidmatan penghantaran tanpa permit atau mengiklankan servis angkut berbayar adalah tidak dibenarkan.
“Jika seseorang mahu menggunakan pikap untuk menghantar barangan orang lain, kenderaan tersebut perlu didaftarkan sebagai kenderaan perdagangan dan memiliki Permit Pembawa A daripada APAD,” katanya.
Beliau berkata, garis panduan itu diharap dapat memberi kefahaman yang lebih jelas kepada orang ramai mengenai penggunaan kenderaan D Kontrol dan pikap serta memastikan aktiviti pengangkutan barangan dilaksanakan secara teratur dan mematuhi undang-undang demi keselamatan semua pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette
















