Tangkap layar video menunjukkan seorang wanita berstatus isteri orang ditangkap khalwat bersama seorang lelaki menyebabkan berlaku kekecohan.

MELAKA – Satu kekecohan tercetus apabila seorang lelaki memberi amaran kepada isterinya ketika ditangkap berkhalwat dengan kekasihnya di sebuah rumah di Krubong di sini, kira-kira pukul 10 pagi semalam.

Situasi tegang itu dirakam penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika tangkapan berkenaan dilakukan imam
seperti dikongsikan di media sosial TikTok pasukan itu.

Berdasarkan video berdurasi satu minit itu, kedengaran seorang lelaki dipercayai suami wanita berkenan melontarkan kata-kata:

“Kau aku tak tumbuk kau dah baik tau, lagi kau nak ‘langsi’ dengan aku ek” yang dipercayai ditujukan kepada isterinya itu sebelum ditenangkan anggota penguat kuasaa.

“Tangkapan imam isteri orang berkhalwat di siang Ramadan. Kekecohan berlaku antara si isteri (orang yang disyaki) dan si suami yang berada di tempat kejadian.

“Kandungan video ini bukan untuk mengaibkan, tapi memberi kesedaran kepada masyarakat sebagai kempen ‘Amal Makruf Nahi Munkar’,” kata kenyataan dikeluarkan JAIM seperti dalam video berkenaan.

Rakaman itu turut menunjukkan penguat kuasa terpaksa meleraikan pertelingkahan itu sebelum berlaku kejadian tidak diingini.

Pegawai penguat kuasa turut menerangkan kesalahan dilakukan pasangan itu yang ditahan di bawah kesalahan Seksyen 53 Enakmen Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkhalwat yang mendatangkan syak.

Kedua-duanya kemudian dibawa ke balai polis untuk laporan dan pejabat JAIM untuk tindakan seterusnya.

Jika sabit kesalahan, pasangan itu boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Rakaman itu menunjukkan si suami tidak dapat menahan sedih apabila melihat isterinya itu dibawa menaiki van penguat kuasa sebelum ditenangkan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast