Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Tiada penerbangan domestik dibatalkan setakat ini termasuk menjelang musim perayaan Aidilfitri, malah beberapa penerbangan ditambah, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang mencari kaedah membantu syarikat penerbangan mengurangkan kos operasi susulan kenaikan harga minyak bagi memastikan operasi penerbangan dapat diteruskan seperti biasa.

Menurutnya, pembatalan penerbangan hanya melibatkan kawasan berisiko seperti zon konflik di Asia Barat termasuk laluan ke Doha dan Dubai, bukan melibatkan penerbangan domestik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

“Setakat ini tiada penerbangan domestik dibatalkan, malah ditambah untuk memenuhi permintaan sempena hari raya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anthony Loke berkata, kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan bagi memastikan operasi penerbangan kekal stabil walaupun berdepan peningkatan kos bahan api.

Tambah beliau, kerajaan tidak mahu melihat syarikat penerbangan tempatan membatalkan penerbangan kerana tindakan itu boleh memberi implikasi kepada negara serta menjejaskan aktiviti ekonomi.

“Komitmen kerajaan adalah memastikan ekonomi berjalan seperti biasa. Syarikat penerbangan memang berdepan isu kos, khususnya kenaikan harga minyak, jadi kita sedang mencari jalan bagaimana mengurangkan kos lain yang boleh ditangani,” jelasnya.

Beliau berkata, cadangan berkaitan perkara itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) petang ini bagi meneliti langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk membantu sektor penerbangan.

Dalam perkembangan sama, Anthony Loke memaklumkan, kebanyakan syarikat penerbangan dari Asia Barat masih belum kembali beroperasi sepenuhnya susulan konflik yang masih berlanjutan di rantau tersebut.

Menurutnya, sebahagian penerbangan yang disambung semula ketika ini hanya melibatkan operasi terhad seperti penerbangan membawa pulang penumpang.

Bagaimanapun, jelas beliau, situasi itu secara tidak langsung meningkatkan permintaan terhadap syarikat penerbangan tempatan bagi laluan ke Eropah.

“Contohnya, Malaysia Airlines kini menyaksikan peningkatan permintaan bagi laluan ke London dan Paris kerana sebelum ini ramai penumpang menggunakan syarikat penerbangan dari Asia Barat untuk ke Eropah,” katanya.

Tambah beliau, syarikat penerbangan tempatan kini perlu mengambil langkah menampung permintaan tersebut berikutan alternatif melalui Asia Barat adalah terhad ketika ini. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast