KUALA LUMPUR – `Alhamdulillah, kita menyatupadukan bukan memecahbelahkan.’
Demikian makkum balas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO , Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyambut kepulangan bekas ketuanya, Khairy Jamaluddin ke pangkuan parti.
Kenyataan ringkas namun sarat dengan mesej ukhuwah itu menyusul selepas pengesahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai penerimaan surat rayuan Khairy Jamaluddin pada malam ke-26 Ramadan.
Dr Muhamad Akmal yang sebelum ini secara terbuka menyatakan keterbukaannya untuk melihat tokoh-tokoh yang pernah terpisah kembali kepada UMNO menyifatkan perkembangan itu sebagai kemenangan bagi semangat penyatuan orang Melayu.
Beliau yang konsisten membawa suara akar umbi menegaskan kekuatan UMNO terletak pada keupayaan untuk menghimpunkan semula ahli-ahli yang masih setia dan percaya kepada prinsip perjuangan parti.
Sejak menerajui sayap Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal sering menekankan pintu ‘Rumah Bangsa’ sentiasa terbuka buat sesiapa sahaja yang ingin mengukuhkan parti tanpa syarat yang melemahkan semangat kepimpinan sedia ada.
Kehadiran Khairy sebagai pemerhati dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini juga dilihat sebagai hasil keberanian Dr Muhamad Akmal yang memulakan langkah diplomasi awal untuk memujuk semula pemimpin-pemimpin yang telah disingkirkan sebelum ini.
Terdahulu, permohonan rayuan Khairy untuk kembali semula kepada UMNO itu dikongsikan Ahmad Zahid menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid turut menyifatkan kehadiran Khairy dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan itu sebagai antara makna sebenar inisiatif Rumah Bangsa.
Jelasnya, Rumah Bangsa merupakan sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula ahli-ahli UMNO dalam satu keluarga besar perjuangan. – MalaysiaGazette















