KAJANG – Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) membantu kerajaan menjimatkan kira-kira RM50 sehari bagi setiap banduan, selain memberi peluang kedua kepada prospek untuk kembali ke masyarakat.
Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Aminon Adnan berkata, penjimatan itu berdasarkan kos harian yang ditanggung kerajaan bagi setiap individu di penjara.
“Satu hari kosnya sekitar RM50 seorang. Jadi apabila mereka dilepaskan lebih awal melalui PBSL, sudah tentu ada penjimatan kepada kerajaan,” katanya selepas Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen Madani Yakin (Kepulangan Yang Dinanti) di Penjara Kajang, hari ini.

Menurut beliau, sempena Aidilfitri tahun ini, seramai 937 prospek dikenal pasti layak untuk dilepaskan melalui PBSL di seluruh negara, melibatkan 899 lelaki dan 38 wanita.
Katanya, kebanyakan prospek terdiri daripada pesalah kesalahan ringan dengan tempoh hukuman yang lebih singkat.
Aminon menjelaskan, semua prospek yang dipilih telah melalui proses penilaian ketat termasuk aspek disiplin, tahap pemulihan, sokongan keluarga serta jaminan penempatan selepas dibebaskan.
“Kita tidak lepaskan secara sewenang-wenangnya. Ada tapisan ketat, penilaian risiko dan pemantauan berterusan oleh pegawai parol bagi memastikan keselamatan masyarakat terjamin,” katanya.

Beliau berkata, program PBSL dilaksanakan di semua 46 institusi penjara di seluruh negara dengan pelancaran peringkat kebangsaan di Penjara Kajang.
Selain penjimatan kos, katanya, PBSL turut memberi fokus kepada pemulihan berasaskan komuniti dengan menyediakan sokongan pekerjaan dan keluarga kepada prospek.
“Sebahagian daripada mereka ditempatkan terus bekerja dengan majikan, selain ada yang kembali kepada keluarga atau ditempatkan di rumah perantaraan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang prospek yang hanya mahu dikenali sebagai Nazrin meluahkan rasa syukur kerana terpilih menyertai program berkenaan dan dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Saya tak sangka dapat pembebasan awal. Dapatlah cari rezeki di luar untuk keluarga. Harap masyarakat beri peluang kepada kami untuk berubah,” katanya.
Sementara itu, wakil syarikat Nam Bee Tyre Retreading Sdn Bhd, Asyiqeen Abdul Jalil berkata pihaknya sentiasa bersedia memberi peluang pekerjaan kepada prospek sebagai usaha membantu mereka membina masa depan baharu.
“Ini peluang kedua untuk mereka bina masa depan. Kita juga dapat lihat kemahiran yang mereka ada dan beri ruang untuk mereka bekerja,” katanya. – MalaysiaGazette

















