Melaka antara destinasi pelancongan popular di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Sektor pelancongan domestik Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhannya pada suku keempat 2025, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta aktiviti perjalanan bermusim.

Bilangan pelawat domestik mencecah 74.0 juta pelawat, mencatatkan peningkatan 10.8 peratus tahun ke tahun.

Dari segi perbandingan suku ke suku, bilangan pelawat domestik meningkat 2.0 peratus berbanding suku tahun ketiga 2025.

Seiring dengan peningkatan aktiviti perjalanan, perbelanjaan pelancongan domestik yang direkodkan berjumlah RM32.6 bilion pada suku tahun tersebut, meningkat 12.4 peratus tahun ke tahun.

Dari segi suku ke suku, perbelanjaan ini meningkat 9.1 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi pelancongan domestik yang lebih kukuh ini didorong oleh peningkatan aktiviti perjalanan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya semasa tempoh cuti sekolah dan musim perayaan pada hujung tahun.

Menurutnya, prestasi pada suku tahun ini mencerminkan permintaan domestik yang berterusan, disokong oleh peningkatan perbelanjaan bagi penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman, pengangkutan serta aktiviti runcit merentas industri berkaitan pelancongan.

“Indikator daripada industri berkaitan pelancongan adalah selari dengan prestasi yang memberangsangkan sektor pelancongan domestik.

Ketibaan penumpang domestik di lapangan terbang meningkat sebanyak 17.9 peratus tahun ke tahun, manakala jualan runcit bahan api automotif mencatatkan pertumbuhan 7.1 peratus, mencerminkan tahap mobiliti yang lebih tinggi serta peningkatan perbelanjaan berkaitan perjalanan pada suku keempat 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Subsektor penginapan turut merekodkan prestasi yang kukuh dengan jumlah hasil meningkat sebanyak 14.7 peratus tahun ke tahun.

Kadar penghunian hotel pula menunjukkan peningkatan merentasi semua kategori, mencerminkan permintaan yang lebih tinggi terhadap perkhidmatan penginapan.

Menilai prestasi tahunan pelancongan domestik, Mohd Uzir berkata, sektor ini mengekalkan pertumbuhan memberangsangkan pada tahun 2025.

Jumlah keseluruhan pelawat domestik mencecah 290.1 juta, meningkat 11.5 peratus berbanding 260.1 juta pelawat pada tahun 2024.

Perbelanjaan pelancongan domestik bagi tahun tersebut berjumlah RM121.0 bilion, mencatatkan pertumbuhan kukuh 13.3 peratus tahun ke tahun, sekali gus mencerminkan peningkatan sumbangan sektor ini kepada aktiviti ekonomi domestik.

Secara keseluruhan, sektor pelancongan domestik Malaysia terus berperanan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi, disokong oleh peningkatan bilangan pelawat, perbelanjaan pelancongan lebih tinggi serta prestasi  berdaya tahan merentas industri berkaitan pelancongan.

Pertumbuhan berterusan yang dicatatkan pada tahun 2025 menunjukkan peranan signifikan sektor ini dalam memperkukuhkan permintaan domestik, menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana, serta meningkatkan daya tahan ekonomi secara keseluruhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast