KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tidak meletakkan syarat termasuk menuntut kerusi Parlimen Sungai Buloh selepas beliau membuat keputusan kembali bersama parti Melayu itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mengesahkan perkara itu berkata, bekas Menteri Kesihatan berkenaan tidak meminta-minta sebarang kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
“Dalam pertemuan tersebut, saya mendengar dengan jelas Khairy menyatakan kepada Presiden UMNO, beliau tidak berhasrat untuk meminta-minta atau meletakkan apa jua permintaan dengan kembalinya ke dalam UMNO.
“Khairy juga tidak meminta dan memohon agar diberikan sebarang kerusi untuk beliau tandingi dalam pilihan raya umum yang akan datang. Tak timbul soal ada permohonan untuk bertanding dalam pilihan raya.
“Tidak timbul juga soal ada ‘demand’ yang beliau nyatakan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas Majlis Moreh Bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor di Hotel Seri Pacific, di sini, tengah malam tadi.

Terdahulu, Khairy mengemukakan surat rayuan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyertai semula parti Melayu itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa kelmarin.
Pada Januari 2023, UMNO memecat Khairy, selain menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar sebelum dipecat daripada parti.
Megat Zulkarnain memberitahu, Khairy memohon Presiden UMNO untuk mempertimbangkan permohonan untuk mengekalkan nombor keahlian beliau sebelum ini.
“Seingat saya dalam pertemuan itu hanya satu saja dia mohon, jika dapat nombor keahliannya yang lama diberikan semula,” katanya.
Jelas Megat Zulkarnain, kembalinya Khairy ke dalam UMNO lebih kepada berperanan untuk membantu menguatkan kembali parti dan menambah keyakinan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Khairy komited untuk membantu parti dalam segenap aspek dengan pengalaman luas sebagai bekas Ketua Pemuda UMNO.
“Itu semua adalah bukan suatu perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut dan beliau menyerahkan 100 peratus kepada kebijaksanaan Presiden.
“Bertanding atau tidak bertanding dalam pilihan raya itu bukan menjadi ukuran, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana beliau boleh kembali membantu UMNO untuk berhadapan dengan pilihan raya akan datang,” katanya.
Selain itu, Megat Zulkarnain tidak menolak kemungkinan Khairy akan ditempatkan semula ke UMNO Bahagian Sungai Buloh menerusi salah satu cawangannya selepas surat rayuannya diperhalusi Jawatankuasa Rumah Bangsa.
“Malam tadi, saya mengadakan pertemuan dengan seluruh kepimpinan UMNO Selangor, kebetulan memang dalam jadual untuk mengadakan majlis moreh.
“Saya telah menyatakan pertemuan itu, kita menerima dengan hati yang terbuka penyertaan beliau semula yang ingin kembali aktif dalam UMNO.
“Keberadaan beliau dalam UMNO Selangor nanti boleh membantu mengembalikan kekuatan UMNO di Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















