KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff menyifatkan keputusan Khairy Jamaluddin kembali kepada UMNO satu kesilapan besar.
Ini kerana, menurutnya, Khairy tidak mempunyai alasan munasabah untuk menyertai semula parti itu selain terdapat platform politik yang lebih baik buat bekas Ketua Pemuda UMNO berkenaan.
Beliau turut mengimbau alasan pemecatan Khairy daripada UMNO pada Januari 2023 yang mana antara alasannya adalah dakwaan usaha sabotajnya terhadap parti itu, selain kenyataan UMNO sudah sesat dan beliau bersedia memperbetulkannya.
Dalam masa sama, tambahnya, Khairy juga dipecat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mana ketika ini masih lagi merupakan Presiden parti itu.
“UMNO hari ini yang kita lihat tidak banyak bezanya dengan 3 tahun lepas. UMNO hari ini masih tunduk kepada PH dan PMX. Adalah sekali-sekali Dr Akmal membentak.
“KJ dipecat oleh UMNO itu. Hari ini UMNO itu juga yang menerimanya semula.
“Kenapa KJ melihat UMNO 2023 dan UMNO hari ini berbeza sehingga sanggup masuk semula, dia saja yang tahu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Menurut Yusfarizal, Khairy sebenarnya mempunyai pilihan lain iaitu boleh sahaja menyertai Perikatan Nasional (PN) seperti dilakukan bekas pemimpin UMNO lain antaranya Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Noh Omar.
Sudah semestinya, ujar beliau, PN membuka tangan seluas-luasnya untuk menerima Khairy, namun bekas Ahli Parlimen Rembau berkenaan melihat perkara itu dengan berbeza.
“Sama ada KJ berjaya menjadi “reformis” UMNO, tiada siapa yang tahu ketika ini.
“Yang pastinya, UMNO hari ini bukanlah lebih kuat daripada sebelumnya, bahkan mungkin lebih lemah.
“Apa gula-gulanya? Hanya KJ dapat menjawabnya. Dan yang hampir pasti, pilihan raya mungkin sudah tidak lama,” katanya.
Kelmarin, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau secara rasmi menyerahkan surat rayuan untuk menyertai semula UMNO kepada Ahmad Zahid.
Menurut Khairy, beliau tidak meletakkan sebarang syarat, hajat peribadi atau permintaan untuk kembali ke parti itu, sebaliknya meminta diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa, iaitu simbolik tanpa sebarang jawatan.
Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat menerusi inisiatif Rumah Bangsa. – MalaysiaGazette
















