BATU PAHAT – Semangat keprihatinan dan budaya berkongsi rezeki terus disemarakkan sepanjang bulan Ramadan apabila Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Kor SISPA UTHM) berjaya menganjurkan Program Infak Ramadan yang berlangsung pada 12 hingga 13 Mac lalu.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Batu Pahat itu bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan di samping memupuk nilai kesukarelawanan serta semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat.
Sepanjang pelaksanaan program tersebut, warga Kor Sispa UTHM bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Batu Pahat telah turun padang menyampaikan sumbangan kepada penerima yang telah dikenal pasti di sekitar daerah Batu Pahat.
Melalui inisiatif tersebut, sebanyak 36 bakul keperluan asas telah disampaikan kepada penerima sebagai usaha membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Menurut Pegawai Penyelaras Kor Sispa UTHM, Leftenan (PA) Davies anak Gendum, program seumpama itu bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada para penerima, malah turut berperanan membentuk sahsiah serta meningkatkan kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa yang terlibat.
“Penglibatan aktif Pegawai Kadet Sispa dalam aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan mampu melahirkan graduan cemerlang daripada aspek akademik, juga memiliki nilai empati tinggi terhadap masyarakat,” katanya.
Turut serta, Mejar Bersekutu (PA) Ahmad Khirul Nizam Ali, Ajutan Kor Sispa UTHM serta Leftenan (PA) Norsyamira Azwan Abdul Aziz, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Batu Pahat bagi menyampaikan sumbangan kepada para penerima di samping memberikan kata-kata semangat kepada mereka.
Sebelum itu, Kor SISPA UTHM juga menganjurkan Program Singgah Sahur pada 11 Mac lalu sebagai satu inisiatif kebajikan dan khidmat masyarakat sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Program bermakna itu dilaksanakan di bawah inisiatif #SISPAPrihatin, sebuah platform yang digerakkan oleh Kor Sispa UTHM bagi memperkukuh budaya kesukarelawanan, keprihatinan sosial serta penglibatan mahasiswa dalam menjayakan program khidmat komuniti yang memberi impak langsung kepada masyarakat.
Dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Batu Pahat, program yang berlangsung pada awal pagi itu menyaksikan pengagihan 240 pek juadah sahur kepada petugas barisan hadapan, anggota keselamatan serta individu yang menjalankan tugas pada waktu malam. – MalaysiaGazette
















