MIROS ketika menyertai program Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang musim balik ke kampung sempena Aidilfitri yang bakal tiba.

MIROS menerusi laman sosial Facebook hari ini turut berkongsi langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan itu.

Antaranya adalah dengan merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan memandu ketika berada dalam keadaan letih atau mengantuk.

Selain itu, pengguna jalan raya juga perlu memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan, selain sentiasa mematuhi had laju dan peraturan jalan raya.

Bagi penunggang motosikal pula, mereka digalakkan memakai topi keledar yang diluluskan serta kelengkapan perlindungan keselamatan.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan mengelak penggunaan telefon bimbit ketika memandu atau menunggang motosikal.

“Ingat, keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama.

“Pandu dan tunggang dengan berhemah agar perjalanan pulang ke kampung halaman lebih selamat dan bermakna bersama insan tersayang,” katanya.

Terdahulu, MIROS turut menyertai program Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha sebagai pempamer yang berlangsung di Dataran Majlis Bandaraya Seremban pada Sabtu lalu.

Majlis yang dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke itu merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan dalam meningkatkan kesedaran dan pematuhan terhadap keselamatan jalan raya, khususnya menjelang musim perayaan.

Sepanjang program berlangsung, reruai MIROS telah dikendalikan oleh pasukan MIROS PRO-R: Motorcycle Training, Testing & Demonstration yang memberi tumpuan kepada aspek keselamatan penunggang motosikal.

“Pasukan ini turut berkongsi maklumat, panduan serta amalan terbaik berkaitan keselamatan menunggang motosikal kepada para pengunjung sebagai usaha meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast