Dr. Chen Cheng Ann bersama pelajar Sarjana Sains, Ng Wei-Ling memeriksa spesimen udang karang berduri di makmal IMB, UMS.

KOTA KINABALU – Institut Marin Borneo (IMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), merekodkan tiga spesies udang karang berduri (Panulirus spp.) dari perairan Sabah buat pertama kali, yang mana dua daripadanya merupakan rekod baharu bagi Malaysia manakala satu lagi merupakan rekod baharu bagi Sabah.

Penemuan ini mengukuhkan status Sabah sebagai kawasan kepelbagaian biodiversiti marin bertaraf dunia.

Kajian yang diketuai oleh Penyelidik IMB, Profesor Madya Dr. Chen Cheng Ann bersama pelajar Sarjana Sains, Ng Wei-Ling, telah mengenal pasti tiga spesies udang karang berduri iaitu Panulirus homarus homarus, P. polyphagus dan P. femoristriga dari perairan pesisir Sabah.

Dua daripada spesies ini merupakan rekod baharu bagi Malaysia (P. femoristriga dan P. h. homarus), manakala satu spesies lagi (P. polyphagus) merupakan rekod baharu bagi Sabah.

Chen berkata, penemuan ini signifikan kerana ia mengemas kini rekod biodiversiti marin Malaysia serta menekankan keperluan untuk memperkukuh pengurusan sumber perikanan di Sabah.

“Sebelum kajian ini, hanya tiga spesies udang karang berduri iaitu Panulirus ornatus, P. versicolor dan P. longipes diketahui terdapat di perairan Sabah sejak 2004.

“Penyelidikan kami kini telah menggandakan jumlah tersebut kepada enam spesies, sekali gus menunjukkan bahawa masih banyak biodiversiti marin Sabah yang belum diterokai.

“Dalam kajian berkaitan, pasukan kami turut merekodkan Panulirus stimpsoni dari Semenanjung Malaysia, sekali gus memperluaskan senarai semak udang karang berduri di peringkat kebangsaan,” katanya.

Tambah Chen, penyelidikan lanjut diperlukan bagi menyokong usaha pemuliharaan serta pengurusan mampan spesies yang baharu direkodkan tersebut.

Beliau turut memaklumkan, kajian berkenaan dijalankan dalam keadaan mencabar ketika pandemik Covid-19 susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan serta akses yang terhad ke tapak lapangan dan komuniti nelayan.

“Walaupun berdepan pelbagai kekangan, kajian ini berjaya menggandakan kepelbagaian udang karang berduri yang diketahui di Sabah, termasuk dua spesies yang merupakan rekod baharu bagi Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Dekan IMB, Profesor Madya Dr. Faihanna Ching berkata, penemuan tersebut turut mencerminkan kualiti dan kekuatan penyelidikan yang dilaksanakan di institut berkenaan.

Menurut beliau, IMB yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) telah dijenamakan semula kepada Institut Marin Borneo pada Januari 2026 dan kini memperluaskan fokus penyelidikan melalui penubuhan beberapa pusat penyelidikan baharu termasuk dalam bidang oseanografi.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC), Ken Kartina Khamis berkata, penemuan tiga rekod baharu udang karang berduri tersebut menekankan kepentingan penyelidikan dan pendokumentasian berterusan sumber biologi Sabah.

“SaBC telah memberikan Lesen Akses bagi kajian ini di bawah nombor rujukan permit JKM/MBS.1000-2/2 JLD.13 (152) dan (153), dan kami berbesar hati melihat hasil yang begitu bermakna daripada penyelidikan ini.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhadah Mustapha, penemuan tersebut penting bagi menyokong usaha pengurusan sumber perikanan negeri.

“Udang karang berduri merupakan antara kumpulan krustasea yang mempunyai nilai komersial tinggi, dan peningkatan kepelbagaian spesies yang diketahui
menunjukkan bahawa protokol pengurusan perikanan perlu dikemas kini.

“Jabatan Perikanan Sabah akan mengambil kira penemuan ini dalam pelan pengurusan masa hadapan dan berharap dapat terus bekerjasama dengan UMS,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast