Logo Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). foto NOOREEZA HASHIM, 23 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggesa menggesa operator perkhidmatan air untuk mengambil langkah mitigasi sewajarnya susulan ketegangan yang berlaku di laluan perdagangan Selat Hormuz akibat konflik Asia Barat.

Suruhanjaya itu berkata, operator perkhidmatan air perlu memastikan ketersediaan stok bahan kimia serta alat ganti mekanikal dan elektrikal yang mencukupi bagi kegunaan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan akan datang.

Jelasnya, secara am, perkhidmatan air bergantung secara langsung terhadap dua aspek yang melibatkan pasaran antarabangsa iaitu bahan api untuk tujuan rawatan dan agihan air serta logistik.

Aspek kedua ialah peralatan alat ganti serta bahan kimia untuk kegunaan di loji, saluran perpaipan serta untuk merawat air.

Katanya, berdasarkan pemantauan semasa, kesan ketara belum dirasai oleh operator memandangkan impak kenaikan kos bahan api masih terkawal sebagaimana pengumuman terdahulu oleh Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, kos bahan alat ganti dan bahan pemprosesan juga belum menunjukkan sebarang kenaikan ketara.

“Merujuk kepada situasi semasa ketengangan laluan perdagangan di Selat Hormuz, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui SPAN sedang memantau secara dekat sebarang impak daripada situasi berkenaan terhadap industri perkhidmatan air di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, SPAN akan terus memantau melalui penilaian impak dari masa ke masa dan tidak menolak sebarang kemungkinan kesan langsung yang bakal menyulitkan industri sekiranya konflik berterusan.

Sebarang kenaikan kos secara mendadak akan semestinya memberi kesan terhadap pengoperasian operator perkhidmatan air.

Sekiranya perlu, langkah-langkah sewajarnya akan diusulkan kepada PETRA dalam memastikan impak terhadap pengguna dapat diminimumkan dan pada waktu sama memastikan kemampuan industri untuk kekal memberikan perkhidmatan sewajarnya.

“Pada kesempatan yang ada, SPAN menyeru pengguna untuk menggunakan air dan tenaga secara berhemat terutama di musim perayaan dan khususnya ketika menghadapi krisis global.

“Penggunaan yang sewajarnya dapat memastikan bekalan mencukupi untuk semua dan kos pengoperasian di pihak pembekal dapat dikawal daripada sebarang kesan buruk impak krisis semasa,” katanya lagi.

SPAN turut meminta pengguna supaya melaporkan sebarang situasi luar jangka kepada operator perkhidmatan air anda atau kepada SPAN melalui aplikasi SiSMAS di pautan sismas.span.gov.my. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast