Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

KUALA LUMPUR -Permohonan kemasukan ke Tabika Perpaduan bagi sesi tahun 2027 kini dibuka bermula 15 Mac 2026 sehingga 31 Ogos 2026 dan boleh dibuat secara atas talian.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataannya hari ini berkata, syarat kemasukan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang mempunyai Sijil Kelahiran dan MyKad, serta berumur empat hingga enam tahun.

Keutamaan juga diberikan kepada pemohon yang tempat kediaman atau tempat kerja ibu bapa berada dalam lingkungan 10 kilometer dari lokasi Tabika Perpaduan.

“Kementerian Perpaduan Negara mengalu-alukan ibu bapa dan penjaga yang berminat untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke Tabika Perpaduan bagi mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti dalam persekitaran yang menekankan nilai perpaduan, hormat-menghormati dan keharmonian masyarakat majmuk,” katanya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, melalui Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021–2030, pendidikan awal kanak-kanak diberi suntikan dan nafas baharu.

Pelan tersebut katanya, bakal memperkukuh peranan Tabika Perpaduan sebagai institusi yang bukan sahaja membangunkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh, malah membentuk generasi yang mempunyai semangat cintakan negara serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Pelan strategik itu merangkumi pemantapan secara menyeluruh meliputi aspek kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran, pembangunan profesionalisme guru, tadbir urus, jalinan kerjasama dengan komuniti serta sistem pemantauan yang lebih berkesan.

Enam teras utama digariskan bagi mencapai matlamat tersebut, antaranya memantapkan elemen kenegaraan, perpaduan dan nilai murni dalam kurikulum, memperkukuh profesionalisme guru Tabika Perpaduan, mengukuhkan jalinan kerjasama bersama komuniti, mempertingkat kaedah pengajaran dan pembelajaran, memantapkan tadbir urus pengurusan serta memperkasakan mekanisme pemantauan dan penilaian.

Bermula tahun 2026, Tabika Perpaduan akan mengaplikasikan Kurikulum Prasekolah 2026 yang menekankan pembangunan menyeluruh kanak-kanak dari segi kognitif, emosi, sahsiah serta nilai perpaduan dan kenegaraan.

Setakat ini, terdapat 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan jumlah murid seramai 34,817 orang, menjadikan institusi ini antara platform penting dalam membina asas pendidikan awal serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast