Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain bercakap pada sidang media mengenai pengumuman agihan keuntungan Tabung Haji 2025 di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 MAC 2026

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan kos menunaikan ibadah haji bagi musim 1447 Hijrah kekal pada RM33,300 walaupun berdepan risiko ketidaktentuan harga minyak susulan konflik di Asia Barat.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, jaminan itu dibuat berdasarkan kerangka perjanjian sedia ada yang telah mengambil kira kemungkinan kenaikan harga minyak global.

Menurut beliau, perjanjian tersebut turut menyediakan mekanisme bagi menangani sebarang perubahan kos melalui persetujuan bersama antara pihak terlibat.

“Bagaimanapun, sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan dalam tempoh panjang dan memberi kesan ketara kepada harga minyak, kos haji pada masa hadapan mungkin akan disemak semula.

“Pun begitu untuk tahun 1447H, kos haji kekal RM33,300 dan TH akan menyerap sebarang kenaikan kos yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman agihan keuntungan TH 2025 di Menara TH di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, pihak pengurusan mengambil keputusan menyerap kenaikan tersebut tanpa membebankan jemaah.

Beliau menjelaskan, perjanjian bersama dua syarikat penerbangan iaitu Saudia dan Malaysia Airlines telah dimuktamadkan untuk tempoh empat tahun dengan julat kos keseluruhan yang ditetapkan lebih awal.

Menurutnya lagi, perjanjian itu turut mengambil kira faktor kenaikan harga minyak, di mana pelarasan kos hanya akan berlaku sekiranya harga minyak melepasi paras ambang AS$90 setong.

“Memang benar harga minyak telah mencapai paras tersebut dan kita tidak pasti sejauh mana ia akan meningkat. Namun, pengurusan berhemah telah mengambil kira perkara ini dan kita masih mampu menyerap kenaikan tersebut,” katanya.

Beliau menegaskan, jemaah haji tahun ini dijamin tidak akan berdepan sebarang perubahan atau gangguan terhadap kos yang telah diumumkan sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad menjelaskan, jaminan tersebut mungkin tidak terpakai bagi jangka panjang memandangkan faktor pasaran global yang tidak menentu.

Katanya, pihak TH juga sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian terbaik, termasuk mencapai persetujuan separa mengikut amalan pasaran semasa.

“Usaha sedang giat dijalankan untuk memastikan keselamatan pendeposit tidak terjejas sama sekali,” ujarnya.

Beliau berkata TH turut menerima pelbagai pertanyaan berkaitan jumlah dana di bawah pengurusan serta perbandingan antara deposit dan pengeluaran, namun butiran lanjut akan diperincikan dalam pengumuman akan datang. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast