Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Sindiket pekerjaan luar negara dikesan terus memperdaya rakyat Malaysia sehingga ada yang dipaksa menjadi scammer, kata Setiausaha Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Beliau berkata, terbaharu, pihaknya telah menerima dua keluarga daripada empat mangsa yang dipercayai diperdaya sindiket supaya anak-anak mereka segera diselamatkan.

Difahamkan kesemua mangsa berusia 20-an berasal dari Pontian, Johor telah direkrut oleh satu kumpulan menawarkan pekerjaan lumayan di Singapura, namun akhirnya dipaksa terlibat dalam aktiviti penipuan.

“Kesemua mangsa ini pada awalnya ditawarkan pekerjaan kononnya sah di luar negara, tetapi sebaik sahaja tiba di sana mereka dipaksa bekerja sebagai scammer dan tidak dibenarkan pulang, katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, mangsa turut berdepan tekanan dan ugutan sekiranya enggan mengikut arahan sindiket terbabit.

“Mereka bukan sahaja dipaksa bekerja, malah ada yang diugut dan dikawal ketat sehingga tidak mempunyai kebebasan untuk melarikan diri atau menghubungi keluarga,” katanya.

Hishamuddin berkata, MHO kini bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kedutaan bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap.

“Kita sedang berusaha membawa pulang semua mangsa ini dengan selamat. Namun, proses ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi luar negara,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan gaji tinggi tanpa proses sah.

“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran kerja yang terlalu baik untuk dipercayai. Pastikan setiap tawaran disemak terlebih dahulu dengan agensi berkaitan,” katanya.

Tambahnya, kes seperti itu bukan perkara baharu dan menunjukkan sindiket masih aktif memperdaya rakyat Malaysia dengan taktik sama.

“Ini membuktikan sindiket masih bergerak aktif dan menggunakan pelbagai helah untuk memerangkap mangsa, khususnya golongan muda yang mencari peluang pekerjaan,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast