MFL

KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil maklum mengenai tindakan sekumpulan individu yang mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat MFL semalam.

MFL dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menghormati hak setiap pihak untuk menyuarakan sebarang pandangan.

Namun, jelasnya, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, reputasi industri bola sepak tempatan serta mencetuskan persepsi negatif terhadap ekosistem bola sepak negara adalah tidak wajar.

Tambahnya, sebagai badan pengelola liga profesional negara, MFL sentiasa komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan peraturan pertandingan serta mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk kelab, pemain, penyokong dan rakan industri.

“MFL menyeru semua pihak agar menyalurkan sebarang pandangan atau ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul demi memastikan keharmonian dan imej bola sepak negara terus terpelihara,” katanya.

Berhubung isu yang dibangkitkan oleh sekumpulan individu terbabit, MFL menjelaskan bahawa proses pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan adalah dua perkara berbeza.

Ujarnya, proses pengesahan status dan pendaftaran pemain naturalisasi di dalam Liga Malaysia adalah seperti yang dijelaskan dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah Perkara 4.5.9.

Bagaimanapun, menurutnya, bagi pendaftaran pemain dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero jelas mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan yang sah sebagai warganegara Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Sepertimana kenyataan media MFL pada 13 Mac lalu, empat pemain tersebut telah didaftarkan dalam Liga Malaysia sebagai pemain tempatan dan bukan pemain naturalisasi,” katanya.

Tambahnya, sebagai pemain tempatan, keempat-empat pemain itu boleh didaftarkan terus bagi saingan Liga Malaysia 2025-2026 di mana Figueiredo, Irazabal dan Hevel didaftarkan pada tempoh pertama pendaftaran pemain 9 Jun-31 Ogos 2025 oleh JDT.

Sementara itu, ujarnya, Palmero yang ketika itu dibebaskan sementara daripada hukuman penggantungan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) didaftarkan oleh Kuching City FC pada tempoh kedua pendaftaran pemain 5 Jan-1 Februari 2026.

“Malah, keputusan MFL untuk mengiktiraf pemain berkenaan sebagai pemain tempatan turut diperakui oleh AFC menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor Paul John pada 13 Mac lalu, dengan menjelaskan bahawa tiada sebarang isu berkenaan keputusan yang diambil kerana ia mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast