KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menyumbangkan hampir RM800,000 daripada gaji dan elaunnya kepada rakyat pelbagai kaum di Parlimen Sungai Buloh yang diwakilinya sejak 2023.
Menurut beliau, bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM65,200 daripada peruntukan peribadi itu telah disalurkan kepada pelbagai rumah ibadat termasuk masjid, surau, tokong, kuil dan gereja, selain infaq khas sepanjang bulan Ramadan.
Jelasnya, ia sebagai menunaikan janji yang dizahirkan sewaktu kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bertekad menyalurkan setiap sen pendapatannya sebagai wakil rakyat kembali kepada komuniti tanpa mengira kaum dan agama.
“Ini bukan soal jumlah, tetapi soal tanggungjawab.
“Apa yang dijanjikan sebelum ini perlu diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramanan yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut bersama-sama menyemarakkan keberkatan Ramadan dengan menggerakkan beberapa inisiatif utama di peringkat akar umbi.
Antaranya melibatkan agihan 10,000 bungkus bubur lambuk di seluruh Parlimen Sungai Buloh.
Selain itu, sebanyak 3,350 bakul makanan turut disumbangkan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi meringankan beban persiapan menyambut Aidilfitri.
“Kekuatan sesebuah masyarakat terletak pada nilai empati dan ihsan,” katanya. -MalaysiaGazette
















