KUALA LUMPUR – Tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran yang hadir di mahkamah mengiringi orang kena tuduh (OKT) dalam kes jenayah disifatkan sebagai mencemar prinsip pemisahan kuasa serta menjejaskan kredibiliti institusi kehakiman negara.
Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Shahrulufti Sharif berkata, tindakan tersebut amat mengejutkan.
Tambahan pula, individu yang diiringi beliau hadir dalam keadaan tidak bergari seperti kebiasaan OKT lain, sekaligus menimbulkan persepsi wujud layanan berbeza.
Beliau menegaskan, kehadiran seorang Timbalan Menteri dalam prosiding kes jenayah adalah tidak beretika, tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima kerana memberi gambaran seolah-olah wujud campur tangan pihak eksekutif dalam urusan mahkamah.
“Tindakan ini menunjukkan sikap politik oportunis yang sanggup menggadaikan maruah institusi demi kepentingan sempit,” katanya dalam kenyataan.
Shahrulufti berkata, tindakan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan prinsip tatakelola yang baik, malah berpotensi merosakkan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam menjaga integriti dan kebebasan institusi negara.
Sehubungan itu katanya, Putra mendesak agar Kulasegaran meletakkan jawatan serta-merta bagi memelihara kredibiliti pentadbiran kerajaan.
“Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan tegas dengan memecat beliau demi menjaga imej kerajaan di mata rakyat dan dunia,” katanya.
Beliau turut menegaskan, Putra tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh melemahkan institusi negara, sambil menyifatkan politik yang menggadaikan prinsip undang-undang sebagai sesuatu yang perlu ditolak sepenuhnya. – MalaysiaGazette
















