KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhemah, bertanggungjawab dan saling bertolak ansur dalam pemanduan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
MIROS menerusi laman sosial Facebook memaklumkan, peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya menuntut tahap kesabaran yang tinggi serta kepekaan terhadap persekitaran bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
Sehubungan itu, MIROS berkongsi panduan perjalanan balik kampung dengan selamat yang boleh diikuti oleh semua pemandu merangkumi dua fasa.
Bagi fasa satu iaitu persediaan sebelum perjalanan, orang ramai digalakkan membuat pemeriksaan terhadap lima perkara utama kenderaaan.
Ia termasuk memastikan tayar, brek, minyak enjin, lampu dan bateri dalam keadaan optimum sebelum memulakan perjalanan.
Selain itu, pemandu juga perlu memastikan tidur mencukupi selama tujuh jam.
“Pemandu yang tidur kurang enam jam mempunyai risiko kemalangan setara dengan memandu mabuk,” katanya.
Selain itu, pengguna jalan raya juga disaran menggunakan aplikasi untuk merancang jadual perjalanan bagi mengelakkan kesesakan.
Sementara itu, bagi fasa dua iaitu berkenaan aspek keselamatan semasa di jalan raya pula, MIROS mengingatkan megenai bahaya microsleep.
Katanya, pada kelajuan 100 kilometer perjam, microsleep selama tiga saat bermakna kenderaan bergerak 83 meter tanpa kawalan dan 138 meter tanpa kawalan sekiranya microsleep selama lima saat.
Selain itu, pengguna jalan raya juga dinasihatkan mengelakkan pemanduan pada waktu berisiko tinggi iaitu antara pukul 2 hingga 5 pagi dan 1 tengah hari hingga 3 petang disebabkan kitaran biologi badan.
Dalam masa sama, pemandu juga disarankan untuk berhenti rehat setiap dua jam dan mengambil `power nap’ antara 15 hingga 20 minit sekiranya mengantuk.
“Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri dan semoga anda selamat tiba ke destinasi,” katanya. – MalaysiaGazette















